MAYC Hutan Banau tawar diri bantu mangsa banjir

Iklan
Rizal (kiri, tengah) bersama penduduk kampung pada Program Jom Ngeteh di Hutan Banau, semalam.
MARANG - Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Cawangan Hutan Banau di sini, menyediakan tenaga 30 sukarelawan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Pengerusinya, Rizal Mokhtar berkata, banjir lazimnya berlaku hujung tahun mengakibatkan ramai penduduk di kawasan rendah berpindah dan mereka memerlukan bantuan semua pihak.

Berdasarkan pengalaman lalu, pihaknya mendapati mangsa banjir akan mengalami tekanan emosi selain memerlukan bantuan ketika berpindah dan apabila pulang ke rumah masing-masing.

"Kampung Hutan Banau ini tidak terjejas banjir namun kita ada 30 sukarelawan untuk memberikan sokongan moral bagi menaikkan semangat serta bantuan tenaga kepada mangsa mangsa banjir.

"Bantuan tenaga yang ditawarkan termasuklah untuk membersihkan rumah mereka yang terjejas terutamanya di kawasan Dun Pengkalan Berangan di sini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menghadiri Program Jom Ngeteh anjuran Kawasan Rukun Tetangga Hutan Banau dengan kerjasama Persatuan MAYC Cawangan Hutan Banau di sini.

Pada masa sama, pihaknya turut menggesa syarikat korporat untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk barangan dan kewangan kepada mangsa yang terjejas.

Menurutnya, sokongan itu diperlukan bagi melancarkan usaha menjaga kebajikan dan keselamatan mangsa banjir kerana dana mencukupi penting membolehkan bantuan segera disalurkan.

"Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat, semua pihak perlu memberikan sokongan. Bentuk bantuan pula bukan hanya makanan semata-mata, barang keperluan peribadi juga boleh disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, MAYC Cawangan Hutan Banau juga mengalu-alukan sukarelawan perempuan untuk menyertai membantu mangsa banjir terutama membabitkan golongan wanita.