Lelaki didenda RM80,000 guna dokumen palsu

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM80,000 selepas mengaku bersalah menipu menggunakan dokumen palsu bagi membekalkan peralatan pejabat di sebuah jabatan lima tahun lalu.

Koh Mui Huck, 54, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, tertuduh pada 7 Jun 2017 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat daripada sebuah syarikat bertarikh 6 Jun 2017 yang diketahuinya sebagai palsu.

Dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu perkhidmatan membekal dan menghantar pelbagai jenis Toner Lexmark bagi kegunaan JPN.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman RM80,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara selama enam bulan.

Iklan

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguamnya, Chong Kian Ming.