Saman AS$1.18 bilion: Mahkamah arah Najib fail pernyataan pembelaan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Jumaat mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC ketika dihubungi pemberita berkata, semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris pada Jumaat manakala bahasa Melayu pada 4 April.

Iklan
Iklan

"Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei,” katanya dan menambah pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

Pada 7 Mei tahun lalu, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Iklan

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama individu itu daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Iklan

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama