Lulus penggunaan ganja, bukan tugas mudah: Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq - Foto Bernama

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa untuk meluluskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan bukan satu tugasan yang mudah.

Bagaimanapun beliau berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan ada perkembangan baik berkaitan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.

"Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes.

Iklan

"Saya sendiri ambil tanggungjawab dalam memperkenalkan industri ini (ganja dalam perubatan) di negara kita.

"Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai respons kepada penyanyi lagu Mimpi Laila, Muhammad Yasin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Yasin yang memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan.

Jelas Syed Saddiq, sejak menjadi Menteri Belia dan Sukan, beliau konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah bekas Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga ada mengeluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.

"Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan kini, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains.

"Bukan buat sebab trend atau cakap-cakap orang. Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit.

"Saya juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan dan nilai pasaran industri itu mencecah sehingga RM60 bilion.