Hasil padi kurang 28,307 tan setahun akibat ubah syarat tanah

Iklan
Sebanyak 2,830.73 hektar keluasan tanah sawah di Kedah diubah syarat kepada perumahan dan pembangunan domestik. Gambar kecil:Azman

ALOR SETAR - Kedah mengalami pengurangan hasil padi sebanyak 28,307 tan setahun akibat penukaran kawasan sawah padi yang diubah syarat kepada perumahan dan pembangunan domestik sejak 11 tahun lalu.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, pengurangan hasil itu menyamai RM44.16 juta, yang direkodkan sejak tahun 2010 hingga tahun lepas dengan purata hasil lima tan sehektar bagi dua musim penanaman padi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membabitkan keluasan tanah sawah sebanyak 2,830.73 hektar berdasarkan kepada permohonan ubah syarat yang diterima oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam tempoh tersebut.

"Tiada pewartaan atau penggantian tanah sawah baharu dalam kawasan Muda dibuat dalam tempoh itu. Bagaimanapun, pewartaan kawasan pinggir MADA sebagai sebahagian daripada kawasan Muda telah dilaksanakan pada 6 April 2009 melibatkan keluasan 2,730 hektar kawasan tanaman padi.

Iklan

"Kawasan pinggir yang diwartakan terdiri daripada 11 skim pengairan di daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang dan Yan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohamad Yusoff Zakaria (Pas-Kuala Nerang) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Azman berkata, usaha berterusan dilaksanakan untuk meningkatkan hasil padi bagi memastikan keperluan makanan negara terpelihara selain program peningkatan hasil di kawasan pinggir MADA yang diwartakan.

Iklan

"Antara usaha dilakukan untuk meningkatkan hasil adalah memperkenalkan Projek Sawah Secara Perladangan (PSSP) melibatkan 3,000 hektar di kawasan MADA, sebelum ini hasil purata diperoleh antara empat hingga lima tan/hektar namun selepas PSSP, hasil meningkat kepada 5.5 hingga 6.5 tan/hektar.

"Usaha lain termasuk SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) melibatkan 100 hektar, yang mana dalam tempoh dua tahun dilaksanakan hendaklah capai tujuh tan/hektar dilaksanakan di Kampung Tok Jering di Alor Setar dengan 70 peserta,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua usaha berkenaan dilakukan agar Kedah dapat mengekalkan Tahap Sara Diri (SSL) beras untuk keperluan negeri sebanyak 40 peratus dan membantu negara mengekalkan sasaran 70 peratus SSL.

"Pelaksanaan kesemua program berkenaan telah membuktikan hasil padi meningkat walaupun kawasan sawah padi kita berkurangan.

"Sebagai negeri Jelapang Padi, Kedah akan terus kekalkan kawasan sawah. Sekiranya 10 peratus daripada kawasan sawah padi itu dibangunkan kita beroleh tambahan hasil lebih RM100 juta, namun atas keperluan jaminan makanan negara, kita berkorban dan kekalkan kawasan untuk tanaman padi,” katanya.

Azman memberitahu, proses pembangunan tidak dapat dielakkan kerana ia menjadi tuntutan kepada pembangunan ekonomi dan sosial untuk kepentingan rakyat.

"Namun langkah kawalan dilaksanakan bagi memastikan sekuriti makanan negara terus terpelihara. Antaranya setiap pembangunan yang dipohon di kawasan tanah sawah hendaklah mematuhi syarat ketat yang dinyatakan.

"MADA juga akan syorkan agar pembangunan dilaksanakan di kawasan luar zon pertanian selari dengan penetapan kawasan Muda yang digazetkan sebagai penanaman padi dua kali setahun.

"Namun MADA tidak mempunyai kawalan bagi pembinaan rumah persendirian,” ujarnya.