Hotel Royale Chulan masih milik Boustead

Iklan

KUALA LUMPUR - Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar menegaskan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih milik Boustead Holdings Berhad iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, perjanjian jual beli hotel dengan Hotel Royale Limited adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti pembeli memperolehi kebenaran dari Unit Perancang Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri bagi tujuan pembelian hotel tersebut.

Iklan
Iklan

"Pembeli memperolehi kebenaran dari Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tujuan pembelian Hotel tersebut di bawah peruntukan 433B Kanun Tanah Negara, 1965.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjualan Hotel Royale Chulan belum dimuktamadkan

Iklan

"Selain itu pembeli juga memenuhi kesemua syarat dan peruntukan penyenaraian yang ditetapkan oleh Singapore Exchange Securities Trading Limited (‘SGX”).

"Kesemua syarat-syarat itu masih belum dipenuhi dan dengan itu Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih lagi milik Boustead. Sekiranya salah satu daripada syarat yang tersebut di atas tidak dipenuhi, penjualan tersebut tidak akan terlaksana," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Sebelum ini, Boustead Hotel & Resorts Sdn Bhd, anak syarikat milik Boustead Properties Bhd, memeterai perjanjian jual beli dengan Every Room A Home Sdn Bhd, bagi melupuskan asetnya, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang dengan nilai tunai RM197 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Boustead Holdings berkata, pelupusan hotel berkenaan yang terletak di atas tanah berkeluasan 3,189 meter persegi di Kuala Lumpur itu termasuk operasi perniagaan membabitkan kelengkapan perabot, hiasan namun tidak termauk akaun muhibah.

Pada 19 Februari lalu, Boustead Holdings mengumumkan pihaknya bersedia untuk menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada firma Singapura, Hotel Royal Limited.

Mengulas lanjut, Amin Shah berkata, apa sahaja yang dilakukan Boustead mengikut tatacara yang betul.

"Ia bagi memastikan sejarah zaman pemerintahan BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan berulang seperti skandal 1MDB yang menyebabkan Malaysia dikenali dunia sebagai sebuah negara kleptokrasi.

"Kita tidak akan lupa bagaimana Malaysia pada zaman Najib seringkali mendapat liputan media antarabangsa seperti Washington Post, The New York Times, South China Morning Post, Sydney Morning Herald, Wall Street Journal dan banyak lagi mengenai skandal dan penyelewengan bekas perdana menteri itu.

"Semua ini adalah fakta dan sebab itu Najib ketika diwawancara oleh wartawan Al Jazeera Mary Ann Jolley pada Oktober 2018, bekas perdana menteri itu melarikan diri. Najib lari kerana bersalah dan jika di pihak yang benar, beliau pasti berani mempertahankannya," katanya.

Najib pada 9 Mac lalu membidas kenyataan pihak tertentu yang mendakwa beliau menyebarkan berita palsu berhubung penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang.

Amin Shah sebelum itu mendakwa Najib hanya sekadar membaca tajuk mengenai pengumuman Boustead Holdings kepada Bursa Malaysia mengenai penjualan aset LTAT.

Jelasnya, bekas Perdana Menteri itu langsung tidak membaca isi kandungan pengumuman menyebabkan beliau gagal memahami penjelasan Pejabat Menteri Pertahanan yang menyatakan penjualan hotel tersebut masih belum muktamad.