Sembilan kawasan KL dilanda banjir kilat

Iklan
Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa banjir di Kampung Periuk, Kampung Baru. - Foto: JBPMKL
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan sembilan kawasan sekitar ibu kota dilanda banjir kilat setakat jam 6.25 petang Isnin.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kawasan terlibat adalah Jalan Kuchai Lama, Jalan Air Keroh-Air Panas, Jalan Leboh Ampang, Taman Salak Selatan, Taman U-Thant, Taman Sri Petaling, Jalan Cheras Batu 2 1/2, Kampung Periuk dan Kampung Pasir.

Menurut kenyataan itu, di Jalan Cheras Batu 2 1/2 pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat yang telah menyebabkan tebing runtuh di sebuah taska.

Iklan
Iklan
Antara kanak-kanak yang diselamatkan di sebuah taska di Jalan Cheras Batu 2 1/2 pada Isnin. - Foto: JBPMKL

"Kawasan taska dimasuki air dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu telah mengeluarkan 40 murid dan guru ke lokasi selamat.

"Pihak bomba bertindak mengawal dan meninjau keadaan dan situasi semasa dilaporkan kembali stabil," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Iklan

Sementara di Jalan Kuchai Lama katanya, 18 anggota dari BBP Seputeh, Hang Tuah dan Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan banjir sehingga paras 2 meter (m).

"Dianggarkan 12 kenderaan terperangkap dan ada mangsa yang berdiri di atas bumbung kereta telah diselamatkan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian," katanya.

Iklan

Tambah kenyataan itu, air setinggi 3 meter menenggelamkan Kampung Periuk di Kampung Baru.

"Pihak bomba telah mengeluarkan mangsa dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman.

"Keadaan telah stabil selepas air kembali surut," ujar kenyataan itu.