Maloney tuntut penyudah lebih tajam

Iklan
Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Laos pada aksi Kumpulan B Kejohanan Bawah 23 AFF di Stadium Prince,Phnom Penh Jumaat lalu. - Foto FAM

KETUA Jurulatih skuad Bawah 23 (B-23), Brad Maloney berharap ketumpulan gerakan penyudah pasukan itu dapat diatasi ketika bertemu Laos dalam aksi timbal balas perlawanan terakhir Kumpulan B Kejohanan Bawah 23 AFF pada Isnin.

Dalam perlawanan penentuan hidup atau mati skuad B-23 itu, Maloney menggesa anak buahnya untuk lebih efisien di hadapan pintu gol lawan dan menggunakan kesemua peluang yang ada untuk menjaringkan gol.

Iklan
Iklan

Beliau yang mempertahankan corak taktikal pasukannya itu selepas kekalahan mengejut kepada Laos berkata, ketajaman di hadapan pintu gol amat penting dalam memastikan pasukan dapat mencatatkan keputusan positif seterusnya layak ke pusingan selanjutnya dalam kejohanan itu.

"Jika kita melihat kepada statistik perlawanan sepanjang 90 minit itu, kita menguasai kira-kira 67 peratus dan mempunyai lebih banyak sepakan tepat berbanding lawan, selain memenangi lebih banyak gerakan individu daripada lawan.

Iklan

"Pada kita adalah penting untuk menukarkan penguasaan itu kepada jaringan gol, sepakan tepat kepada jaringan gol, kita amat perlukan lebih banyak gerakan penyudah di hadapan pintu gol dalam usaha mendapatkan keputusan dikehendaki,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad.

Pada pertemuan pembukaan di Stadium Prince di Phnom Penh itu, Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Laos menerusi jaringan tunggal pemain tengah, A Selvan manakala Bounphachan Bounkong dan Phetdavanh Sangvilay berjaya memastikan tiga mata untuk mereka.

Iklan

Keputusan itu menyebabkan anak buah Maloney perlu meraih kemenangan dengan kelebihan dua gol pada pertemuan kedua mereka di stadium sama padi Isnin bagi memastikan skuad B-23 negara layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Begitupun Maloney masih menaruh kepercayaan terhadap anak buahnya untuk mengatasi Laos selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang secara keseluruhan walaupun mereka tewas pada perlawanan itu.

"Pada saya kami menguasai sebahagian besar kawasan, namun suatu yang tidak dapat kita kuasai ialah jaringan. Jadi kami akan terus lakukannya dan berharap ketajaman bahagian serangan segera diperbaiki ketika di hadapan pintu gol lawan,” katanya.

Perlawanan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan itu, akibat jangkitan Covid-19 dalam pasukan mereka.

Hanya tiga pemenang kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Februari dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Februari.