Telur sukar dapat selepas banjir

Iklan
Sebuah pasar raya di sini menghadkan pembelian lima papan telur setiap seorang. (Gambar kecil dari kiri: Hakim, Rugayah, Renukah, Rismayanti)

TEMERLOH - Selepas minyak peket, telur antara barangan asas yang sukar diperoleh pengguna di daerah Temerloh di sini selepas banjir baru-baru ini.

Bagi peniaga nasi lemak, Rismayanti Ismail, 49, di Mentakab mendakwa sukar mendapatkan bekalan telur selepas banjir dan ada premis menghadkan pembeliannya setiap seorang.

Iklan
Iklan

"Ada yang hadkan pembelian lima papan setiap seorang dan kalau terlambat, memang tak dapat, cepat habis.

"Ada kalanya saya terpaksa mendapatkan telur di Temerloh namun nasib tak baik tak dapat juga beli sebab tiada bekalan," dakwanya.

Iklan

Tambahnya, harga barangan asas itu semakin mahal juga membuatkan peniaga banyak menggunakan telur sepertinya turut terkesan.

"Saya mungkin terpaksa naikkan harga jualan memandangkan kenaikan harga barangan lain termasuk telur," katanya lagi.

Iklan

Seorang lagi peniaga makanan, Rugayah Abdul Salam, 52, juga mendakwa situasi kesukaran mendapatkan telur itu ketara berlaku selepas banjir.

"Ada beberapa hari tiada telur dijual di premis dan bila ada, cepat habis terjual.

"Harga pun semakin mahal biarpun saya tidak menggunakan banyak telur dalam jualan namun ia tetap memberikan kesan.

"Ada premis yang jual telur gred C sampai RM12.40 sepapan berbanding dulu, kira-kira RM8 sepapan," dakwanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga burger, Hakim Abu Kasim, 51, pula mengakui terpaksa menaikkan harga jualan burger antara 10 hingga 20 sen bermula 1 Februari lalu disebabkan situasi tersebut.

"Saya terpaksa naikkan harga jualan kerana sudah tidak mampu menampung kenaikan harga pelbagai barangan lain dan telur.

"Bekalan telur pun kadang mudah dapat, kadang sukar dan ada sesetengah premis menghadkan pembelian setiap seorang," ujarnya.

Bagi suri rumah,S Renukah, 41, terpaksa juga membeli telur kerana ia keperluan buat keluarga meskipun mengetahui harga barangan itu semakin mahal.

"Kalau dulu harga telur gred C kira-kira lebih RM7 ke atas sepapan kini lebih RM11 ke atas.

"Memang mahal dan terkejut juga namun nak tak nak kena beli juga kerana ia adalah keperluan selepas lain-lain barangan seperti sayur-sayuran, ayam pun sudah naik harga," ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Rohani Razak, 52, berharap situasi itu segera ditangani oleh kerajaan.

Menurutnya, situasi pelbagai kenaikan harga barangan asas lain memberikan kesan kepada pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah.