Najib mungkin tak faham bahasa saya: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

SHAH ALAM -"Datuk Seri Najib mungkin tak faham bahasa saya. Bila saya kata UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib sebelum ini mendakwa Muhyiddin merancang lebih awal untuk mencalonkan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Iklan
Iklan

"Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak namakan calon.

"Semasa saya hadir mengumumkan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, saya beri bayangan, manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Iklan

Muhyiddin juga berkata, beliau memberi bayangan jika ada persetujuan daripada ahli parti.

"Saya cakap secara berhemah. Kalau Datuk Seri Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?” ujarnya.

Iklan

Melalui hantarannya kali ini, Muhyiddin turut berkongsi kenyataan yang dibuat di sebuah portal sebagai bukti bahawa Hajiji hanya akan dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN dan rakannya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu.

Najib dalam kenyataan balas di Facebooknya pada Khamis mendakwa, Muhyiddin menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 September 2020 iaitu pada hari penamaan calon.

Selain itu, Najib juga meminta Muhyiddin menjawab kenyataan Ketua Bersatu Johor minggu lalu mengenai hasratnya mahu menamatkan dominasi UMNO dan BN yang menjadi teras gabungan itu supaya tidak mampu bangkit lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Najib turut mendesak Muhyiddin menafikan suara rakaman itu bukan milik beliau yang didakwa ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 23 Februari 2020.

Pada Rabu, Muhyiddin dalam hantaran Facebook miliknya menyatakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menamakan calon Ketua Menteri Sabah dari UMNO namun beliau tidak menamakan sehingga kempen PRN berakhir.

Disebabkan itu, Muhyiddin menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri sekiranya PN memenangi jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).