Guna cop palsu PBT tipu mangsa

Iklan
Razak menunjukkan laporan polis dan cop palsu kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pengubahsuaian rumah teresnya di Bandar Tun Razak, di sini.

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kerugian RM4,000 selepas arkitek yang dibayar untuk membuat pelan pengubahsuaian rumah teresnya di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, lesap tanpa dapat dikesan.

Mangsa Abdul Razak Peer Muhammad, 50, berkata dia melakukan dua transaksi pemindahan wang pada pada 3 November dan 28 Disember tahun lalu sebagai pendahuluan bagi kerja membuat pelan itu.

Iklan
Iklan

"Saya memindahkan wang sebanyak dua kali berjumlah RM2,500 dan RM1,500 ke dalam akaun bank arkitek berkenaan.

Jumlah keseluruhan bayaran adalah RM5,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, arkitek berkenaan bersetuju untuk menyiapkan pelan pengubahsuaian rumahnya termasuk kerja permohonan bagi mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ketika kerja pengubahsuaian rumah sedang dijalankan, saya menerima surat amaran daripada DBKL yang mengarahkan ia dihentikan serta-merta kerana tidak mempunyai kebenaran,” katanya.

Iklan

Razak berkata, tindakan itu agak pelik kerana pelan tersebut sudah diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan cop rasmi DBKL yang tertera di atas pelan itu.

"Saya cuba hubungi semula arkitek berkenaan yang dikenali sebagai Nizam untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu namun gagal,” jelasnya.

Cop palsu kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Razak berkata, dia terus ke Jabatan Bangunan DBKL dan pegawai bertugas memberitahu cop rasmi yang digunakan adalah palsu.

Berasa dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

"Sekarang jiran sebelah rumah pula tidak berpuas hati kerana kerja ubah suai tergendala menjadikan kawasan itu tidak terurus dan boleh jadi tempat pembiakan nyamuk dan binatang berbisa,” ujar Razak.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan sedang berjalan.