Jabatan Veterinar akan nasihat peniaga 'Merpati Pelangi'

Iklan
JPVNK akan turun ke lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga burung ‘Merpati Pelangi' di Tumpat dalam tempoh terdekat.

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) akan turun ke lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga burung ‘Merpati Pelangi' di Tumpat dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengarah JPVNK, Dr Syarifah Asiah Mohd Amin berkata, pihaknya juga akan menyelidik terlebih dahulu isu mengecat burung terbabit yang mungkin memberi kesan kepada kebajikan haiwan itu.

Iklan
Iklan

"Perkara ini boleh dikaitkan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) iaitu pemilik perlu bertanggungjawab ke atas keperluan kebajikan haiwan masing-masing.

"Bagaimanapun, kita akan turun ke lapangan untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat dan memberi konsultasi mengenai Akta Kebajikan Haiwan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara yang akan memberi kesan kepada kebajikan haiwan peliharaan mahupun untuk dijual sekali gus mengelak berlaku penganiayaan.

Media pada Ahad melaporkan, seorang peniaga burung merpati dan ayam serama di Kampung Kepulau di Tumpat mengambil inisiatif menyembur cat di badan burung terbabit yang kemudian digelar ‘Merpati Pelangi’ untuk melariskan jualan. - Bernama

Iklan