Hasrat bina Kompleks Al-Quran Darul Jannah tertangguh sejak 2008

Iklan
Pelancaran Inisiatif Merealisasikan KADJ diadakan pada Rabu.

MELAKA - Hasrat Persatuan Pengajian dan Kuliah Asas Membaca Al-Quran Negeri Melaka (PERKAMA) membangunkan Kompleks Al-Quran Darul Jannah (KADJ) sejak 2008 masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya berikutan kekangan dana.

Pengerusi merangkap pengasas KADJ, Johari Hussain berkata, sebanyak RM3.5 juta diperlukan bagi menyiapkan kompleks berkenaan yang dibangunkan di atas tanah seluas 3,600 kaki persegi di Bukit Rambai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kompleks itu dirancang merangkumi dua bangunan setingkat dengan sebuah dewan bagi menyediakan kemudahan pengajian al-Quran kepada pelajar.

“Sejak 2008, kita merancang untuk membangunkan kompleks ini, namun kekangan dana menyebabkan hasrat itu masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya.

Iklan

“Ketika ini, PERKAMA masih menumpang di surau dan masjid untuk menjalankan aktiviti pengajian kerana belum mempunyai premis sendiri yang kekal,” katanya pada majlis pelancaran Inisiatif Merealisasikan KADJ baru-baru ini.

Ridzuan (kiri) menyampaikan cek RM60,000 kepada Johari bagi menjayakan projek KADJ.

Iklan

Pada majlis itu, turut diadakan simbolik penyerahan cek sumbangan berjumlah RM60,000 daripada Haza Group bagi membantu pembangunan projek berkenaan.

Johari berkata, kompleks itu bakal menjadi pusat perkembangan ilmu al-Quran, selain melahirkan lebih ramai tenaga pengajar yang berkemahiran serta memupuk kecintaan terhadap kitab suci itu.

Menurutnya, program pengajian yang ditawarkan menyasarkan golongan dewasa dengan tempoh pembelajaran selama tiga tahun setengah, mengikut silibus yang ditetapkan serta melibatkan peperiksaan oleh panel bertauliah.

Beliau berharap pembinaan kompleks itu dapat disiapkan dalam tempoh lapan bulan, bergantung kepada kecukupan dana yang diperlukan.

“Pembinaan kompleks berkenaan masih pada peringkat struktur dengan kemajuan dianggarkan 20 peratus selepas menerima dana berjumlah RM250,000 setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Haza Group, Datuk Ridzuan Ishak berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu merealisasikan pembinaan KADJ atas tanggungjawab sosial dalam menyokong pembangunan pusat pembelajaran al-Quran.

Katanya, selain terlibat dalam pengurusan acara, Haza Group turut aktif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk menyalurkan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan maahad tahfiz.

“Apabila melihat keperluan KADJ yang masih memerlukan dana untuk disiapkan, kita mencapai persetujuan untuk bersama-sama membantu menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Kita berharap dengan sokongan pelbagai pihak, KADJ dapat direalisasikan dan memberikan manfaat kepada umat Islam di Melaka serta seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu menjayakan projek berkenaan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun rasmi PERKAMA 1005601000079475 (Agrobank).