IPOH - Seorang anggota polis tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan rompakan terhadap dua beradik perempuan di sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Manjung, 21 Disember lalu.
Tertuduh, Alex Praba, 21, berpangkat lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas seorang wanita berusia 27 tahun di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan Jalan Kampung Paya Nibong Ayer Tawar dalam daerah Manjung sekitar jam 12.15 tengah malam pada 21 Disember lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan ke atas adik mangsa berusia 20 tahun pada tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin menawarkan wang jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Vivien Michelle memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan anak tunggal dan pencari nafkah tunggal kepada keluarganya.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, kedua-dua mangsa telah ditahan ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.
Polis yang menerima laporan telah menjalankan siasatan sebelum menangkap tertuduh selain turut merampas dua beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci motosikal dan barang mekap.