Tiada keadaan mencurigakan dalam kematian Zara Qairina – Pegawai penyiasat

Iklan
Pegawai penyiasat kes Zara Qairina memberitahu prosiding inkues bahawa hasil akhir siasatannya tidak menemukan keadaan mencurigakan dalam kes kematian remaja itu.

KOTA KINABALU - Pegawai penyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir berpendapat tiada keadaan mencurigakan dalam kematian remaja itu berdasarkan hasil akhir siasatan yang dijalankannya.

Inspektor Wong Yew Zhung, 32, yang juga saksi ke-83 dalam inkues Zara Qairina berkata demikian ketika disoal peguam, Shahlan Jufri pada prosiding di Mahkamah Koroner di sini, Rabu.

Iklan
Iklan

Shahlan sebelum itu membangkitkan beberapa keadaan sebelum kejadian, termasuk keterangan seorang pelajar yang mendakwa Zara Qairina menangis selepas bertemu pelajar Tingkatan Empat di sebuah dorm asrama.

Peguam itu turut mempersoalkan keadaan apabila tiada pelajar atau saksi melihat bagaimana remaja berkenaan terjatuh sebelum ditemukan di aras bawah bangunan asrama, sekali gus menimbulkan unsur mencurigakan dalam kematiannya.

Iklan

Bagaimanapun, Yew Zhung ketika menjawab perkara itu merujuk kepada keterangan pelajar A yang didakwanya pernah menyatakan bahawa Zara Qairina beberapa kali bercakap mengenai keinginan untuk terjun dari bangunan.

"Seingat saya, pelajar A menyatakan Zara beberapa kali cakap nak terjun bangunan dan dia tidak suka kehidupan dia sendiri sebab ada masalah sekolah dan keluarga," katanya.

Iklan

Shahlan kemudian meminta pegawai penyiasat itu menjelaskan pendapatnya mengenai kemungkinan wujud unsur mencurigakan berdasarkan keadaan sebelum kejadian, ketika mangsa ditemukan di aras bawah asrama sehingga kematiannya.

"Pada pendapat saya, dalam akhir siasatan saya pun tiada keadaan mencurigakan," jawab Yew Zhung.

Dalam keterangannya berhubung keperluan bedah siasat, Yew Zhung mengesahkan beliau mendapatkan arahan daripada pegawai atasannya bagi mengenal pasti punca kematian Zara Qairina.

Sebelum itu, Shahlan turut mempersoalkan sama ada penemuan seorang pelajar di bawah bangunan asrama sepatutnya dianggap sebagai insiden mencurigakan yang memerlukan bedah siasat.

Menjawab perkara itu, Yew Zhung menjelaskan bahawa penilaiannya dibuat berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian serta pemeriksaan doktor yang tidak menemukan kecederaan lain selain kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

"Pada peringkat awal, selepas lawatan siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan doktor, tiada kecederaan lain ditemukan selain kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

"Bagaimanapun, disebabkan keengganan menjalankan bedah siasat, borang tidak dikeluarkan. Namun, hasil pemeriksaan akhir selepas bedah siasat dijalankan oleh pakar masih menunjukkan punca kematian yang sama," katanya.

Ketika ditanya sama ada bedah siasat tetap perlu dijalankan sekiranya punca kematian diketahui tetapi terdapat keadaan mencurigakan, Yew Zhung menjawab bahawa prosedur itu perlu dilakukan dalam keadaan sedemikian.

“Kalau mencurigakan, ya,” katanya.

Ketika Shahlan sekali lagi meminta pengesahan sama ada beliau berpendapat tiada perkara mencurigakan dalam kes kematian Zara Qairina, Yew Zhung menegaskan bahawa pendirian itu berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankannya.

"Selepas siasatan dan lawatan tempat kejadian, berkaitan diari serta diagnosis doktor, pada peringkat awal memang tiada perkara mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan akhir juga membuktikan tiada kecederaan lain selain kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi," jelasnya.