Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara

Iklan
Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu pada Rabu atas pertuduhan membunuh rakan senegara pada September lalu.

KOTA BHARU - Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh rakan senegara pada September lalu.

Tertuduh, Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret R Vinoshen.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohammed Tuasin, 18, di bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini lebih kurang jam 4.20 petang hingga 9.38 malam pada 18 September lepas.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan beberapa laporan daripada pakar bedah siasat.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui mati dengan kesan luka hiris dan tetak pada leher di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh di sini.

Pusat Kawalan Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 12.12 tengah malam.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di kawasan berkenaan.