Kerajaan PH terlalu bergantung kepada Petronas: Najib

Iklan
Najib Razak

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, kerajaan PH telah meningkatkan kebergantungan terhadap minyak sehingga menyebabkan rizab Petronas menurun.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan pada zaman pemerintahan BN mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan kepada Petronas dan hasil minyak.

Iklan
Iklan

"Ini disebabkan, kita menyedari satu hari kelak rizab minyak dan gas di Malaysia akan kehabisan. Atas faktor itu, kita merancang kebaikan untuk jangka masa panjang dan masa depan negara.

"Tetapi, kini kerajaan PH pula meningkatkan kebergantungan dan menjarah rizab Petronas dengan banyak sehingga ia mengalami penurunan," katanya menerusi kenyataan Facebook, semalam.

Iklan

Menurutnya, semasa pentadbirannya beliau juga memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen melangkaui keperluan.

"Tindakan ini adalah untuk memastikan Petronas mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan bertulis Kementerian Kewangan dalam Dewan Rakyat, kelmarin.

Pihak kementerian memaklumkan bahawa rizab minyak dan gas Malaysia dijangka akan berkurangan pada 2029 berdasarkan kadar pengeluaran semasa.

Bagi tahap pengeluaran purata tahunan semasa pula, rizab minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 10 tahun sahaja.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan turut menyarankan Petronas meneruskan usaha cari gali di dalam dan di luar negara bagi memastikan kemampanan bekalan bahan bakar minyak di Malaysia.

Direkodkan, Semenanjung Malaysia mempunyai rizab minyak mentah dan gas berjumlah 2.2 juta tong minyak bersamaan (BOE) Sarawak (2.8 BOE) dan Sabah pula sebanyak 1.7 BOE.