KLANG - Pengagihan dana kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di Selangor akan dilaksanakan semula kepada dua sesi pada tahun depan.
Pengagihan dana menerusi program Bantuan Sekolah itu turut meliputi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap tahun bermula sejak 2016 sehingga kini kerajaan negeri membelanjakan lebih kurang RM24 juta menerusi program Bantuan Sekolah kepada sekolah-sekolah terbabit.
"Cuma bezanya tahun ini, kita agihkan satu sesi, kalau dulu kita bahagikan kepada dua sesi, dalam bulan April atau Mei, dan satu lagi sesi September atau November sebab kita hendak tengok permohonan demi permohonan.
"Tetapi kekangan pandemik (Covid-19) menyebabkan kita hanya boleh melakukan mesyuarat dan pertemuan mengenalpasti penerima-penerima sekali sahaja, jadi kita agih pada akhir tahun seperti yang kita buat tahun lepas.
"Selepas ini kita akan kembali seperti dulu, dua kali, dua sesi sebab saya rasa (keadaan Covid-19 sudah) boleh dikawal," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah di SMPC Ping Hwa di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chan Kim serta Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, permohonan bantuan itu juga dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) pada tahun ini.