Jangan mudah terperdaya pakej umrah murah

Iklan
Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan zakat kepada peniaga kecil ketika Program Tabung Haji (TH) Prihatin di Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan iklan pakej umrah yang ditawarkan dengan harga murah bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, orang ramai sebaliknya dinasihatkan supaya memilih pengendali umrah yang berlesen dan mendapat pengiktirafan daripada kerajaan untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya akui harga menjadi pilihan utama orang ramai. Makin rendah harga, makin ramai yang akan memilih perkhidmatan itu.

"Tapi nasihat saya, berhati-hatilah dalam memilih perkhidmatan umrah yang ditawarkan oleh mana-mana agensi," katanya kepada pemberita pada Program Tabung Haji (TH) Prihatin di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau menjelaskan, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ketika ini ialah RM6,900.

Setakat ini, pihaknya bagaimanapun masih belum menerima sebarang aduan selepas ibadah umrah kembali dibuka pada bulan lalu.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, seramai 1,620 peniaga kecil terjejas dengan pandemik Covid-19 sudah menerima sumbangan zakat yang diagihkan oleh TH.

"Peruntukan zakat TH ini melibatkan jumlah sebanyak RM810,000. Agihan zakat ini kita berikan kepada sembilan buah negeri melibatkan sebanyak 180 penerima bagi setiap negeri.

"Setiap penerima mendapat sumbangan sebanyak RM500. Kerajaan sedar dan prihatin dengan nasib dialami rakyat terutama golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan asnaf," katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM18.7 juta telah diperuntukkan pada tahun ini menerusi program-program seperti ehsan, iqra, mobiliti dan a'fiat.