'Bom isu' hangatkan kempen saat-saat akhir

Iklan
Mohd Azizuddin

SERAMAI 495,196 pengundi yang layak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini. Berbaki kurang 72 jam, kesemua 112 calon yang bertanding giat mendekati pengundi dengan pelbagai cara bagi meraih undi pada saat-saat akhir dalam suasana norma baharu akibat pandemik Covid-19.

Perhatian kini tertumpu kepada 'bom isu' atau isu hangat yang akan dibangkitkan dengan serangan terhadap parti lawan bagi menarik sokongan termasuk pengundi atas pagar dan menetap di luar kawasan. Beberapa janji dan komitmen ditawarkan dalam manifesto masing-masing.

Iklan
Iklan

Ikuti wawancara Sinar Harian bersama penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani bagi mengulas mengenai situasi PRN Melaka ketika ini.

SINAR HARIAN: Bagaimana Profesor melihat gerakan calon berkempen?

Iklan

MOHD AZIZUDDIN: Calon-calon masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan kempen normal baru. Mereka berinteraksi secara jarak jauh dengan pengundi. Kebanyakan mereka menggunakan media sosial untuk berkempen dan berinteraksi dengan pengundi.

Pihak berkuasa seperti SPR dan polis juga memerhatikan dan menguatkuasakan SOP (prosedur operasi standard) dengan tegas. Saya menyaksikan sendiri ketegasan polis melarang pemimpin berceramah ketika melawat DUN Kelebang.

Iklan

Secara umumnya, terdapat kekangan calon-calon bertemu dengan pengundi. Memandangkan ini merupakan kawasan DUN, pengundi tidak ramai seperti di kawasan Parlimen. Jadi saya rasa tempoh kempen cukup untuk mereka berinteraksi dengan pengundi di kawasan yg calon tandingi.

Pada minggu ini sebelum hari mengundi pada Satu, saya rasa mereka akan lebih agresif. Media tradisional dan baru akan digunakan sepenuhnya untuk kempen khususnya kepada pengundi luar yang akan balik mengundi.

Pemimpin-pemimpin besar juga turun membantu calon berkempen.Pelbagai isu juga akan dimainkan untuk menarik sokongan pengundi. 'Bom isu' atau isu hangat juga akan dimainkan pada saat akhir bagi menarik sokong pengundi di saat akhir.

Beberapa tawaran juga akan diberikan oleh parti kepada pengundi khususnya melalui manifesto. Mengumumkan calon Ketua Menteri juga menjadi strategi parti politik menarik undi. Meskipun begitu, biasa pengundi telah membuat keputusan siapa yang akan mereka undi.

Saat akhir ini adalah rebutan kepada pengundi atas pagar yang kecil jumlahnya, mungkin dalam kadar 10 hingga 20 peratus. Walaupun peratusan kecil, ianya boleh memenangkan calon sepertimana yang berlaku di sembilan kerusi yang dimenangi dengan jumlah majoriti bawah seribu pengundi pada PRU14 lalu di Melaka.

Dalam masa sama, bagi saya parti politik juga perlu mengawal emosi penyokong dan petugas parti mereka khususnya di media sosial. Ini kerana dibimbangkan membawa unsur yang tidak sihat termasuk fitnah dan berita palsu. Unsur politik wang atau membeli undi juga harus dielakkan. Pihak polis harus bertindak sekiranya terdapat unsur-unsur sedemikian.

SINAR HARIAN: Bagaimana keberkesanan kempen di media sosial terutama pengundi lebih berusia?

Secara umumnya tidak sampai kepada mereka walaupun ramai juga pengundi berusia mempunyai telefon pintar. Pengundi berusia ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh anak-anak dalam membuat keputusan kerana sudah terdedah kepada informasi semasa.

Penggunaan media sosial sebenarnya lebih berkesan kepada pengundi muda dan senior yang biasa menggunakan telefon pintar. Namun begitu, kempen masih boleh dilakukan kepada pengguna lebih berusia melalui media cetak dan penyiaran termasuklah televisyen dan radio yang efektif untuk mendekati golongan ini.

Oleh itu saluran media perlu dibuka sepenuhnya untuk semua parti berkempen. Syarikat media sama ada akhbar, televisyen, radio dan portal boleh menjana pendapatan dengan menjual iklan calon, parti serta ruangan temubual. Semua pihak kena kreatif. Saya rasa untuk PRN Melaka ini setiap informasi akan sampai kepada pengundi berusia kerana perkara yang ada di media sosial juga dibincangkan di kedai-kedai kopi dan restoran.

Saya juga merasakan ramai pengundi yang berusia tahu menggunakan aplikasi WhatsApp. Selain itu, parti politik juga boleh menghantar perkhidmatan pesanan ringkas atau SMS kepada pengundi ini kerana mereka rata-ratanya ada telefon bimbit, meskipun bukan telefon pintar.

SINAR HARIAN: Pada pandangan Prof, pengundi di Melaka lebih cenderung mengundi berdasarkan calon atau parti?

Di Melaka dan di negeri lain, faktor parti lebih diutamakan kerana pengundi lebih mengenali parti dan hala tuju parti. Calon baharu khususnya agak sukar untuk dikenali pengundi.

Faktor calon akan dipilih sekiranya terdapat personaliti yang penting dan dikenali bertanding, barulah faktor calon menjadi kriteria pemilihan oleh pengundi.

Untuk PRN Melaka ini, saya lihat faktor calon ditagih bagi kawasan-kawasan seperti Tanjung Bidara, Lendu, Bukit Katil, Paya Rumput, Rim, Telok Mas, Pengkalan Batu dan Bemban. Ini kerana ada personaliti terkenal yang bertanding di kawasan-kawasan tersebut.

Biasanya rakyat menanyakan apa yang parti boleh sumbangkan kepada negeri sekiranya membentuk kerajaan. Jadi peranan dan imej parti adalah penting bagi menentukan kemenangan sesuatu calon tersebut.

Realitinya juga parti bimbang akan calon mereka yang menang tetapi melompat menyertai parti lain selepas memenangi parti lawan. Itu sebab Pakatan Harapan (PH) mahu memperkenalkan enakmen anti-lompat parti di Melaka bagi mengelakkan keadaan sebegini berulang.

Yang jelas, dinamik politik Melaka ini berubah. Jadi ini menyukarkan untuk menentukan siapa yang menang. Pastinya keputusan PRN Melaka ini adalah cerminan PRU15 nanti dan menentukan hala tuju dan perancangan kerjasama parti pada masa depan.

Di dalam PRN Melaka ini, rakyat harus bijak memilih calon dan parti yang boleh membawa kemakmuran kepada mereka untuk lima tahun akan datang. Jadi pemilihan haruslah dilakukan secara rasional dan tidak emosional, takut-takut tersalah pilih nanti.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my