Hilang wang deposit jika tidak turun bahan kempen hingga Jumaat ini

Iklan
Foto fail Bernama

MELAKA - Parti politik yang belum menurunkan logo atau bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan kehilangan deposit pemasangan berjumlah RM5,000 sekiranya tindakan itu tidak dilakukan hingga Jumaat ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, kira-kira 40 peratus bendera dan bahan kempen termasuk kain rentang dan poster dalam kawasan MPHTJ belum diturunkan sehingga Rabu.

Iklan
Iklan

"Setakat ini saya berpuas hati dengan tindakan dilakukan parti politik yang terlibat di kawasan MPHTJ, namun ada sebahagian kecil masih belum berbuat demikian.

"Justeru, saya menggesa parti politik terlibat untuk segera berbuat demikian sebelum Jumaat ini agar tidak kehilangan deposit mereka," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, tindakan menurunkan bahan kempen dengan kadar segera bagi memelihara keindahan dan kebersihan Melaka sebagai negeri pelancongan, sekali gus memberi keselesaan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPHTJ telah menerima tempat kedua Anugerah Penghargaan Bandar Mampan 2021 bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 9 November lepas.

Iklan

Katanya, pengukuran Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berasaskan kerangka Jaringan Penunjuk-Penunjuk Bandar Malaysia meliputi lima strategi, enam dimensi, 20 tema dan 39 penunjuk yang dibentuk berdasarkan dasar pembangunan utama negara berkaitan ekonomi, sosial dan fizikal. - Bernama