Fiesta Labur PNB@Home didik perancangan kewangan

Iklan
Logo Fiesta Labur PNB 2021.

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menganjurkan program Fiesta Labur PNB @Home secaya maya untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan perancangan kewangan dalam kehidupan seharian.

PNB dalam satu kenyataan berkata, program itu akan berlangsung menerusi platform Facebook Amanah Saham Nasional Berhad bermula jam 10 pagi hingga 5.30 petang pada 29 hingga 31 Oktober ini.

Iklan
Iklan

"Pelbagai ilmu dan maklumat pelaburan serta produk dan perkhidmatan ASNB akan dikongsi menerusi tiga segmen utama iaitu Borak-Borak Je, ASNB Kongsi dan Diva Labur,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga segmen itu akan menampilkan selebriti popular iaitu Ajak Shiro, Bell Ngasri, Haiza, Abby Fana dan DD Chronicle.

Iklan

"Mereka akan secara bergilir memudah cara program bersama panel jemputan termasuk penasihat kewangan berlesen, Dr. Adam Zubir dan Alwi Adam, pengendali saluran kewangan Financial Faiz, YouTuber Faiz Azmi dan dan Pengarah Eksekutif Antarabangsa Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam (ISRA), Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, seiring dengan norma baharu ketika ini, pada tahun ini ASNB menganjurkannya secara dalam talian menerusi Facebook rasmi supaya ASNB dapat mendekati orang ramai dan pelabur ASNB.

Mohammad Hussin

Iklan

"Program ini turut diadakan bersempena Bulan Literasi Kewangan 2021 anjuran Financial Education Network (FEN) yang berlangsung sepanjang Oktober ini. PNB merupakan ahli jaringan FEN yang bermatlamat memperkasa penyampaian ilmu perancangan kewangan kepada orang ramai.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami menjemput ahli panel berpengalaman dalam bidang perundingan kewangan dan pelaburan, untuk berkongsi kepakaran dalam sesi khas ‘Special Coaching’. Ia berbentuk kelas bimbingan dan khidmat nasihat bagi membantu peserta melabur dan mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan,” jelas Mohammad.

Beliau berkata, sesi itu menyediakan tiga tajuk pilihan dengan ahli panel antaranya Penasihat Kewangan Berlesen, Suzardi Maulan yang akan berbicara mengenai Strategi Memaksimumkan Pulangan Menerusi Pembiayaan ASB.

"Tajuk kedua pula ialah Asas Mengurus Kewangan untuk Mula Melabur oleh Penasihat Kewangan Berlesen, Alwi Adam dan tajuk ketiga Langkah Demi Langkah Urus Harta untuk Mudahkan Waris oleh Peguam di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Nor Zabetha Muhamad Nor.

"Sesi ini akan dibawakan menerusi platform Zoom dan mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di pautan yang tersedia di laman Web rasmi Fiesta Labur, Facebook rasmi ASNB dan Sembang-Sembang ASNB.

"Selain itu, kami juga menjemput ejen-ejen ASNB untuk berkongsi mengenai perkhidmatan yang mereka tawarkan khusus untuk pelabur ASNB,” katanya.

Menariknya, pelbagai program menarik akan diadakan antaranya ialah Diva Labur dan trivia istimewa Olympiad50: ASNB&Anda turut dianjurkan untuk menguji pengetahuan orang ramai mengenai ASNB, pelaburan dan perancangan kewangan.