Kerajaan perlu tegas isu arak: Mujahid

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih tegas terhadap isu arak bagi memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli kabinet perlu menjelaskan isu ‘Timah’ agar nama Islam tidak dicemari tanpa menidakkan hak bukan Islam dalam keperluan mereka.

Iklan
Iklan

"Dari sudut industri yang mempromosikan jenama arak 'Timah' sebagai produk Malaysia, ia adalah sesuatu yang memburukkan imej Islam sebagai agama persekutuan dan menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.

"Kelulusan jenama arak 'Timah' tidak akan berlaku dan ditolak sejak awal lagi bagi memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sekiranya dasar pemerintahan berkaitan arak diteliti," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Iklan

Beliau mencadangkan kerajaan menetapkan panduan berkaitan arak agar isu ini tidak lagi dipolitikkan sehingga menimbulkan polemik berterusan yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, dasar arak perlu bermula dengan melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.

Iklan

Tambah beliau, sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai agama persekutuan.

"Sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak di kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam.

"Keempat, isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi dari eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian,” katanya.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang sama ada di peringkat kerajaan tempatan, mahupun di peringkat persekutuan perlu diperketatkan dan dibaiki supaya gejala kesan arak dapat dikawal serta ditangani dengan berkesan.

"Berkenaan cukai arak, dicadangkan supaya peruntukan besar perlu dibuat di bawah program 'Berhenti Minum Arak' bagi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya arak dan ancamannya kepada kesejahteraan seta keselamatan masyarakat.

"Program ini adalah rentas kaum dan agama bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia menentang bahaya arak dalam masyarakat bagi memelihara kesihatan dan kesejahteraan rumahtangga serta keselamatan masyarakat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengeluar arak jenama Timah beri penjelasan

Arak jenama Timah penghinaan kepada umat Islam: Mufti

Arak jenama Timah bukan hasil produk kerajaan