Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya persoal pelantikan Danesh Raj

Iklan
Kenyataan akhbar oleh KMUM pada Jumaat berhubung pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya. Gambar kiri: Danesh Raj Nagarajan

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) pada Jumaat tampil mempersoalkan pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) pusat pengajian tinggi tersebut.

Dalam satu kenyataan, KMUM menyatakan pihaknya tidak melihat sebarang nilai tambah yang boleh diberikan susulan daripada pelantikan individu tersebut ke dalam jawatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Persatuan pelajar itu turut mempersoalkan mengenai indeks prestasi utama (KPI) atau garis panduan yang diguna pakai dalam pemilihan anggota LPU kerana berpandangan ramai lagi individu atau pihak lain yang lebih berkelayakan bagi mengisi jawatan tersebut.

"Walaupun Danesh merupakan seorang ahli Felo Perdana dan pembantu felo di kolej kediaman, adakah kita kekurangan calon yang lebih kompeten untuk memikul peranan tersebut?

Iklan

"Khususnya setelah mempertimbangkan faktor seperti meritokrasi akademik, pengalaman industri, keseimbangan gender, pengantarabangsaan dan faktor lain?” soal kenyataan itu.

Pada 4 Oktober lalu, Universiti Malaya telah mengumumkan pelantikan Danesh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Iklan

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, pelantikan itu dilakukan selaras dengan kepercayaan kerajaan terhadap warga belia dan penglibatan aktifnya dalam hal ehwal pengurusan universiti sebagai seorang alumni.

Mengulas lanjut, KMUM menjelaskan bahawa pihaknya sangat mengalu-alukan idea untuk memperkasakan kepimpinan golongan muda.

Bagaimanapun, KMUM menyatakan sekiranya penglibatan aktif dalam hal ehwal universiti adalah satu-satunya alasan yang dapat diberikan, pihaknya berpendapat terdapat alumni lain lebih sesuai bagi mengisi jawatan itu yang terdiri daripada pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan ahli KMUM.

"Satu syarat yang penting dan tidak seharusnya diperlekehkan iaitu kecekapan pemimpin tersebut untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, persatuan KMUM turut mempersoalkan penglibatan politik Danesh yang sebelum ini pernah menjadi seorang pemimpin muda MIC.

"Kesatuan sangat percaya bahawa institusi pengajian tinggi haruslah bebas daripada sebarang pengaruh dan cengkaman politik.

"Perbincangan dan diskusi berkaitan politik boleh dilakukan bahkan diraikan atas nama kebebasan akademik untuk membudayakan pemikiran matang dalam kalangan mahasiswa namun pelantikan politik bagi posisi penting yang mampu mempengaruhi operasi harian institusi pengajian tinggi seharusnya disangkal,” ujarnya.