Bank Islam disenarai di Bursa Malaysia

Iklan
Mohd Muazzam

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatat sejarah+ dalam sejarah industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Jumaat melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Berhad (BHB).

Dalam satu kenyataan Bank Islam berkata, penyenaraian itu menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat.

Iklan
Iklan

"Langkah penjajaran semula dalaman itu turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang melibatkan pengagihan semula semua pegangan BHB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), kepada pemegang saham BHB, seterusnya, pemindahan status penyenaraian BHB dalam pasaran utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

"Pada masa sama, BHB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan bank mengambil peranan sebagai syarikat induk. Langkah ini menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali Takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat serta perniagaannya di samping menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini.

Beliau berkata, melalui penyenaraian itu, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya menyokong program pembangunan dan pertumbuhan perniagaan pada masa depan dengan cekap.

Iklan

Di samping itu, Kumpulan akan mempunyai skala dan keupayaan yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhan organik.

"Penyenaraian ini membuka peluang kepada pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan Kumpulan Bank Islam baharu, yang meliputi BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) dan BIMB Securities Sdn Bhd (BIMB Securities).

"Melalui pendekatan bersinergi dan holistik, Bank Islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, penyenaraian itu memberi kedudukan menguntungkan buat Bank Islam dalam memanfaatkan pertumbuhan kewangan Islam dan pasaran modal Islam, sejajar dengan usaha untuk mengembangkan asas pelanggan Bank.

"Dengan jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion, Bank Islam kini memulakan strategi pelan perniagaan lima tahun (LEAP25) yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam normal baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19.

"Bank Islam akan meneruskan hala tuju perniagaannya ke arah mencapai matlamat LEAP25 melalui lima pemacu perniagaan: Kewangan Sosial, Pengurusan Kekayaan, Perusahaan dan Perbankan Borong serta Bank Digital,” katanya.

Menurutnya, Bank Islam menerima sambutan luar biasa dan permintaan kukuh daripada pelabur runcit dan institusi, domestik dan antarabangsa, termasuk beberapa nama besar dalam komuniti pelaburan.

"Bagi pihak Kumpulan Bank Islam, saya mengalu-alukan semua pemegang saham dan pelabur agar terus bersama kami melangkah ke masa hadapan yang lebih baik untuk Bank Islam dan seterusnya memangkin pertumbuhan pasaran ekuiti Islam dalam negara dan rantau ini,” katanya.

Maybank Investment Bank Berhad berperanan sebagai Penasihat Utama dalam pelaksanaan penyusunan semula BHB.