Bersatu sokong Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker

Iklan
Eddin Syazlee

SHAH ALAM- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyokong Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Shamsudin berkata, ini kerana, Bersatu akan sentiasa mengikut sebarang arahan daripada kerajaan.

Iklan
Iklan

"Berkaitan maklumat Bersatu tidak akan menyokong itu, saya tiada makluman apa-apa. Setakat ini, kerajaan meminta kami (Bersatu) untuk menyokong. Kami akan berikan sokongan.

"Semua telah dapat memorandum sebentar tadi, jadi kami semua undi calon daripada kerajaan. Itu pemahaman saya setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Mas Ermieyati

Pada Isnin, media melaporkan, jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mungkin dikosongkan sehingga persidangan akan datang berikutan terdapat bantahan terhadap Ahmad Maslan untuk menyandang jawatan tersebut.

Iklan

Sumber berkata, ini kerana sebahagian ahli parti dalam Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Difahamkan, terdapat usaha ahli-ahli Parlimen Bersatu untuk menggagalkan usul kerajaan yang menamakan Ahmad Maslan selaku Timbalan Speaker daripada sebelah kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tiada sebarang arahan yang dikeluarkan untuk Bersatu tidak menyokong Ahmad Maslan.

Katanya, setelah menerima taklimat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua sebulat suara untuk menyokong Ahmad Maslan menyandang jawatan tersebut.

"Saya tidak tahu menahu perkara ini. Setakat taklimat tadi, Perdana Menteri mahu kita sokong, dan Bersatu akan sokong.

"Setakat ini tiada arahan untuk kita tidak menyokong. Saya tidak mendengar,” ujarnya.