KPM wajibkan pemakaian pelitup muka

Iklan
Mohd Radzi bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober nanti.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebelum ini pemakaian pelitup muka di sekolah tidak diwajibkan.

Iklan
Iklan

"Bermula sesi persekolahan ini, pemakaian pelitup muka diwajibkan. Nak pakai pelitup muka berganda itu digalakkan.

"Untuk murid-murid daripada keluarga latar belakang sosio ekonomi yang rendah, miskin kita akan ikhtiarkan bekalkan sedikit pelitup muka untuk mereka di sekolah.

Iklan

"Kita akan melaksanakan usaha ini untuk membantu anak-anak kita daripada kumpulan yang memerlukan yang ingin datang ke sekolah tapi tidak mampu menyediakan pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi waktu rehat membabitkan murid sebelum ini masih lagi dikekalkan.

"Seperti sebelum ini, waktu rehat murid makan di dalam kelas di bawah pengawasan guru mereka.

"Namun begitu untuk kelas yang menggunakan penghawa dingin, mereka perlu makan di luar di bawah pengawasan guru,” katanya.

Bagi aktiviti sukan dan ko-kurikulum, beliau berkata, ia masih lagi belum dibenarkan.

"Namun begitu untuk kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan kita boleh benarkan dengan syarat murid telah siap memakai pakaian sukan dari rumah dan mereka tidak menyalin baju di sekolah.

"Kita ingin mengelakkan kesesakan dalam bilik persalinan apabila semua murid masuk untuk menyalin baju,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi turut memohon kepada ibu bapa sekiranya anak mereka bergejala agar tidak menghantarnya ke sekolah.

Bagaimanapun katanya, jika murid terbabit sewaktu hadir pada waktu pagi tidak bergejala tetapi sewaktu rehat berlaku sebaliknya, sekolah akan menyediakan kit ujian kendiri.

"Kita akan sediakan kit ujian kendiri untuk guru menempatkan murid ini di bilik isolasi dan murid ini akan melaksanakan ujian tersebut.

"Sekurang-kurangnya kita dapat asingkan murid ini lebih awal daripada kelompok lain. Itu sebahagian usaha bagi memastikan yang bergejala tidak datang ke sekolah dan yang menunjukkan gejala itu kita tangani lebih awal,” jelasnya.