Tiada cadangan wujud kerajaan perpaduan: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

YAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bercadang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan melibatkan parti pembangkang.

Beliau sebaliknya berkata, wakil pembangkang akan diberikan peranan dalam jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama itu tidak semestinya dengan melibatkan kehadiran pembangkang dalam kabinet.

"Wakil pembangkang tidak akan menganggotai kabinet, jika mereka ikhlas nak bantu, kita ada dua jawatankuasa terbabit dan mereka boleh berikan pandangan untuk pulihkan ekonomi dan tangani Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kawasan bencana fenomena kepala air di Merbok dan Titi Hayun pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang untuk memperincikan perkara itu.

"Insya-ALLAH saya akan berjumpa dengan mereka (pembangkang) untuk berbincang. Mereka nak tahu peranan dalam kerajaan," katanya.

Iklan

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pembangkang atas maklum balas positif terhadap konsep Keluarga Malaysia.

"Marilah sama-sama kita selesaikan isu negara bersama," katanya.