Labur RM50 untuk hias beca dengan Jalur Gemilang

Iklan
Sazali melabur RM50 untuk membeli Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dihias beca miliknya sempena Sambutan Hari Kemerdekaan.

PEKAN - Seorang warga emas sanggup melaburkan wang RM50 bagi membeli 20 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk menghiasi beca miliknya setiap kali menjelang kemerdekaan.

Pemilik beca, Sazali Yussoff, 61, memberitahu itu adalah cara dirinya menyatakan rasa cinta kepada negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rutin itu menjadi kewajiban setiap kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan sehingga mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihat ketika becanya itu menyusuri jalan di sekitar bandar Pekan.

"Pada sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu, saya dan beberapa rakan yang memiliki basikal klasik menyertai program berkayuh melalui beberapa laluan utama di bandar Pekan termasuk mengelilingi kampung.

Iklan

"Selain memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan aktiviti berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan beca dan basikal klasik kepada generasi muda yang mungkin sudah lupa dengan kenderaan itu," katanya pada ditemui pada Rabu.

Dia yang menetap di Kampung Padang Manggis berkata, meskipun beca miliknya sudah berusia lebih 50 tahun, tetapi ia masih boleh digunakan.

Iklan

Jelasnya, beca yang dibeli pada harga antara RM1,500 hingga RM2,000 itu akan digunakan untuk ke pasar besar Pekan untuk membeli barangan dapur.

"Saya ada empat buah beca. Tapi beca ini yang digunakan untuk membawa penumpang dibeli di Pulau Pinang tiga tahun lalu dengan kos RM3,500," ujarnya.

Menurut Sazali, hobinya itu menggamit kenangan zaman kegemilangan kenderaan beroda dua terbabit yang semakin dilupakan.

Bagaimanapun, kini katanya semakin sukar untuk melihat pengangkutan terbabit di negeri ini berada di jalan raya.

"Sebelum ini, beca begitu terkenal di bandar Pekan dan Kuantan yang digunakan sebagai pengangkutan utama oleh masyarakat setempat namun hari ini kenderaan berkenaan boleh dikatakan semakin pupus.

"Justeru, sebagai warga emas yang pernah menggunakan perkhidmatan beca suatu ketika dahulu, saya dan beberapa rakan berusaha untuk mempopularkan semula beca dan basikal klasik," katanya.