Individu perlu bentuk nilai sendiri cegah rasuah

Iklan
Ilanco Karuppanan (atas kiri) Halimah Mohd Said, Nurhayati Nordin (bawah, kiri) dan Syed Farid Alatas semasa program Siri Wacana Dasar VI (Siri Akhir): Rasuah dan Gerakan Sosial secara dalam talian pada Rabu.

SHAH ALAM- Setiap individu perlu memainkan peranan dalam membentuk nilai jati diri bagi mencegah dan menjauhi gejala rasuah.

Team Ahli Pemikir (TAM) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Said berkata, pengukuhan integriti dan bersikap jujur dapat mengelak individu itu daripada terlibat dengan perbuatan rasuah.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhan, negara boleh berintegriti kalau individu penuh dengan integriti. Individu yang bertanggungjawab dalam membentuk nilai sendiri. Tidak boleh bergantung kepada sebuah organisasi sahaja bagi mencegah perkara ini (rasuah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Siri Wacana Dasar VI (Siri Akhir): Rasuah dan Gerakan Sosial secara dalam talian pada Rabu.

Iklan

Turut menjadi panelis pada program itu, Profesor Sosiologi Universiti Nasional Singapura, Profesor Dr Syed Farid Alatas dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin manakala Datuk Dr Ilanco Karuppanan selaku moderator.

Selain itu, beliau berkata, sesebuah negara dan kerajaan perlu ada kehendak dalam menyelesaikan masalah rasuah dalam negara.

Iklan

Jelasnya, usaha menghadapi masalah itu tidak akan menemui penyelesaian sekiranya kerajaan tidak mempunyai kehendak politik.

"Kehendak politik ialah komitmen pihak berkuasa utama (kerajaan) untuk membuat keputusan. Ia bukan kehendak ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), tetapi pihak berkuasa negara dalam buat keputusan seperti menggubal dasar dan sebagainya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

"Yang memainkan peranan penting di sini adalah barisan kepimpinan sama ada kerajaan, agensi mahupun institusi kerajaan. Barisan kepimpinan sektor swasta juga turut main peranan yang penting kerana mereka yang menyuap sering kali dari sektor swasta,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin turut berpendapat, individu itu sendiri perlu memainkan peranan dalam menentang rasuah.

Jelasnya, peranan itu bukan lagi diletakkan kepada badan-badan tertentu semata-mata.

"Sebab itu kita tidak boleh berjaya. Itu fakta yang kita kena terima. Sebab kita beri kepada pihak lain. Sedangkan budaya rasuah ini melibatkan semua individu.

"Kadang-kadang, benda kecil pun kita tidak perasan. Secara tidak sedar, rasuah turut berlaku kepada diri kita,” jelasnya.