Malaysia, Bangladesh meterai MoU kerjasama pembekalan gas asli cecair

Iklan
Mustapa Mohamed

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh pada Selasa memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pembekalan Gas Asli Cecair (LNG).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MoU yang dimeterai itu adalah untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh, terutama dalam sektor tenaga dan pembekalan LNG.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terma komersial bagi pembekalan LNG akan dibincang dan diperhalusi kedua-dua pihak bagi mencapai manfaat bersama selepas pemeteraian MoU tersebut.

"Hari yang baik ini menandakan satu lagi kejayaan penting bagi Malaysia dan Bangladesh dalam bidang kerjasama tenaga, terutama dalam pembekalan LNG. Ini adalah bukti hubungan dua hala yang lama dan bekerjasama antara kedua-dua negara.

Iklan

"Malaysia yang merupakan antara negara pengeluar dan pengeksport LNG utama dunia dengan kapasiti pengeluaran sekitar 30 juta tan setahun. Malaysia mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk membekal LNG bagi memenuhi peningkatan permintaan di pasaran rantau ini.

"LNG merupakan antara sumber tenaga mampan dan cekap serta berpotensi untuk menyokong agenda pembangunan dan memenuhi permintaan domestik,” katanya semasa majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh mengenai kerjasama dalam pembekalan gas asli cecair (LNG) ke Bangladesh pada Selasa.

Iklan

Majlis pemeteraian MoU secara maya itu turut disempurnakan oleh Menteri Kuasa, Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Nasrul Hamid.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md Golam Sarwar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah Md Hashim.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerjasama yang terbentuk dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara terutama dalam pembangunan sektor tenaga dan pertumbuhan ekonomi.

"Malaysia dan Bangladesh mempunyai hubungan yang baik sejak tahun 1972 dan menjalinkan kerjasama erat dalam bidang ekonomi, pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal.

"Dari segi hubungan perdagangan dua hala, Bangladesh adalah rakan dagang kedua terbesar di antara negara-negara Asia Selatan.

"Saya yakin bahawa MOU akan menjadikan perkongsian ini satu lagi langkah penting ke hadapan. Diharap bahawa kontrak pembekalan akan dimuktamadkan segera setelah penandatanganan MOU hari ini," katanya.

Beliau berharap kerjasama itu dapat diperluaskan lagi ke sektor ekonomi yang lain di masa hadapan selaras dengan hasrat kedua-dua negara mencapai kemakmuran bersama serta masa depan lebih mampan.