Latih 25,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran digital

Iklan
Inisiatif tersebut selaras dengan dasar MyDigital yang dilancarkan kerajaan.

SHAH ALAM - Microsoft Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Junior Achievement (JA) Malaysia bekerjasama untuk meningkatkan tahap kemahiran digital 25,000 rakyat Malaysia khususnya para graduan dan penganggur menerusi Program Kemahiran Digital Bagi Kerjaya Hari Esok.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, program itu selaras dengan matlamat kerajaan menerusi MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara untuk membangunkan bakat profesional digital tempatan yang berdaya saing.

Iklan
Iklan

Jelasnya, inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada yang terlibat menerusi webinar mengenai kemahiran digital dan sains data, berdasarkan sumber daya industri dan latihan Microsoft.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 400 peserta akan dipilih untuk mengikuti kursus intensif yang merangkumi bimbingan mentor dan latihan kemahiran insaniah bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Iklan

"Peserta boleh memilih antara lima laluan kerjaya pilihan iaitu penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan teknologi.

"Kursus-kursus ini ditawarkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Ia bagi menggalakkan penglibatan dan memudahkan penyertaan peserta,” kata kenyataan itu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama awam dan swasta merupakan pemangkin penting untuk melahirkan bakat digital berwibawa dengan meningkatkan kemahiran serta memahirkan semula tenaga kerja.

Jelasnya, usaha memahirkan semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja terutamanya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 amat penting untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja.

"Kami teruja dengan kerjasama ini dan bertekad untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh bakat-bakat tempatan kita dan membantu mengukuhkan tenaga kerja digital Malaysia,” ujarnya.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman pula berkata, memandangkan masa depan Malaysia bakal dibina berlandaskan ekonomi yang mendahulukan digital, tenaga kerja digital akan menjadi pemacu penting dalam mendorong pemulihan ekonomi negara.

Jelasnya, inisiatif Bersama Malaysia yang merangkumi komitmen untuk melengkapkan satu juta rakyat dengan kemahiran digital menjelang Disember 2023 telah diumumkan.

"Sejajar dengan usaha ini, kami berbesar hati menjalin kerjasama kukuh dengan Perkeso dan JA Malaysia. Kami ingin bersama-sama menyokong bakat-bakat digital agar kekal berdaya saing dan berjaya dalam ekonomi Malaysia yang mendahulukan digital.

"Usaha akan turut dilaksanakan bagi memastikan calon yang berjaya ditawarkan peluang pekerjaan, latihan amali atau praktikal. Microsoft akan bekerjasama untuk melibatkan ekosistem rakan kongsi dan pelanggan Microsoft untuk menjadi sebahagian daripada program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pemegang Amanah JA Malaysia, Datuk Timothy Garland berkata, perniagaan dan organisasi di seluruh dunia telah melaksanakan transformasi dengan mengguna pakai teknologi baharu untuk terus beroperasi dalam persekitaran luar biasa akibat Covid-19.

Tambah beliau, di samping penggunaan teknologi yang kian meningkat, terdapat permintaan seiring bagi kemahiran digital dan ia membuka peluang untuk mereka mencari kerjaya yang diminati.

"Di samping Microsoft, Perkeso dan juga CloudSwyft sebagai rakan Sistem Pengurusan Pembelajaran, kami berhasrat membawa kemahiran digital kepada rakyat Malaysia dan melengkapkan mereka untuk membina kerjaya masa hadapan,” ujarnya.