Jaminan pembeli dan pasaran

Iklan
Aktiviti penggredan di salah sebuah PPL peserta Program Ladang Kontrak.

BIDANG pertanian menyumbang peratusan tinggi daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2019, sebanyak 7.1 peratus KDNK datang daripada sumber pertanian.

Iklan
Iklan

Ini membuktikan pertanian satu-satunya industri yang tidak akan ‘mati’ malah menjadi keperluan terpenting manusia terutama dalam saat-saat genting.

Kemelesetan ekonomi yang tercetus akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan berlakunya krisis kemanusiaan seperti kehilangan pekerjaan, perniagaan rugi, hutang keliling pinggang dan banyak lagi.

Iklan

Percaya atau tidak, sumber pertanian sebenarnya mampu menjana pendapatan dan dapat mengubah nasib seseorang jika dilaksanakan secara sistematik dan mendapat sokongan serta latihan daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Program Ladang Kontrak adalah salah satu mekanisme untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mereka mendapat pulangan yang setimpal.

Iklan

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), program Ladang Kontrak diperkenalkan melalui empat teras iaitu untuk menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar, mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan menepati kehendak pasaran serta mempertingkatkan pemindahan teknologi di sepanjang rantaian bekalan.

Setelah Bahagian Pemasaran dan Eksport (BPE) ditubuhkan pada tahun 2017 dan program ini dipindahkan ke BPE, fokus program itu mula dialihkan kepada aspek pemasaran.

Dalam RMK12, program itu telah digantikan dengan Program Khidmat Pemasaran MAFI atau dikenali sebagai Program Ladang Kontrak 2.0 (LK2.0).

Program LK2.0 merupakan satu program kerjasama di antara pemasar dengan pengeluar yang dipermudahkan oleh agensi atau Jabatan Pembimbing MAFI.

Sebagai balasan kepada persetujuan kerjasama itu, pihak pemasar dan pengeluar yang didaftarkan sebagai peserta program layak menerima insentif/ kemudahan pemasaran yang ditawarkan melalui program berkenaan.

Sejak RMK9, bilangan peserta LK2.0 telah mencapai kira-kira 17,000 orang. LK2.0 menekan empat objektif utama iaitu:

 Menghubungkan peserta dengan pasaran dan memastikan hasil pengeluaran dipasarkan.

 Membantu usahawan pemasar mendapat bekalan terus daripada pengeluar hasil pertanian agar hasil disalurkan secara berjadual dan berterusan.

 Mengenal pasti dan membangunkan peserta pengeluaran menjadi usahawan pemasar.

 Meningkatkan pendapatan peserta program.

Program itu terbuka kepada pengusaha baharu dan juga pengusaha sedia ada dalam bidang pertanian yang memenuhi syarat pemilihan dan kriteria ditetapkan.

Peserta sama ada individu, syarikat atau koperasi boleh menyertai LK2.0 dengan syarat mereka berdaftar dengan mana-mana jabatan atau agensi MAFI termasuklah Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak.

Peserta juga perlu memiliki kawasan tanah tapak projek dengan pemilikan atau sewaan yang sah di sisi undang-undang.

Agensi pelaksana pemasaran iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula akan menilai, memilih dan meluluskan permohonan peserta selepas membuat pendaftaran.

Agensi itu juga berperanan memberi bantuan pemasaran kepada peserta; memantau dan merekod aktiviti pemasaran setiap peserta mengikut KPI yang ditetapkan; membeli, memasarkan hasil pengeluaran dan bertindak sebagai fasilitator/perantara di antara pengeluar dengan pemasar/pasaran; menyediakan 'forward agreement' dan menguruskan proses menandatangani perjanjian, serta bertindak membangunkan luang pasaran bagi meneroka pasaran baharu untuk usahawan pemasar yang terlibat.

Peserta yang terlibat dalam program LK2.0 diberikan bantuan dalam bentuk barangan (in-kind) serta khidmat nasihat pemasaran berdasarkan keperluan peserta dan mengikut skop program yang telah diluluskan.

FAMA mengambil hasil pertanian peserta yang telah mengikat perjanjian 'forward agreement' bersama FAMA.

Jaminan pasaran

Apa yang menarik, pembeli industri/ komersial yang bekerjasama dalam program itu akan menerima bekalan yang konsisten daripada pembekal iaitu peserta program.

Komitmen ini dinyatakan melalui perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.

Peserta LK2.0 diberi pilihan untuk menandatangani perjanjian jual beli dengan pihak FAMA atau LPP yang dikenali sebagai 'forward agreement'.

Melalui perjanjian ini, LPP/ FAMA akan membeli hasil keluaran peserta mengikut kuantiti dan gred yang telah dipersetujui bersama.

Selain itu, penentuan harga belian adalah sama ada belian pada harga tetap atau pada harga semasa yang disokong dengan harga lantai.

Harga lantai adalah harga minimum yang akan dibayar kepada peserta jika berlaku kejatuhan harga pada sesuatu komoditi.

Ini bagi memastikan peserta dapat meneruskan aktiviti pertanian mereka, sekali gus menjamin pasaran secara tetap.

Agensi pelaksana program juga melaksanakan program pengaturan pasaran kepada peserta bagi mempelbagaikan luang pasaran.

Melalui pengaturan pasaran ini, peserta akan dipadankan dengan pembeli industri/komersial seperti pasar raya, kedai runcit, kedai makan, katerer dan lain-lain.

LK2.0 menggunakan sistem e-LK sepenuhnya bagi memastikan setiap laporan dan butiran peserta direkodkan secara sistematik.

Melalui sistem yang telah dibangunkan pada tahun 2020 ini, profil setiap peserta akan direkodkan termasuklah jenis tanaman, anggaran tarikh pengeluaran hasil, anggaran pengeluaran dan nilai pengeluaran dan lain-lain.

Pelan pemasaran LK2.0

1. Forward Agreement (FA) bersama Agensi

Peserta menandatangani FA bersama FAMA/LPP untuk memasarkan hasil ladang. Kemudian, agensi akan membeli berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui, sebelum dipasarkan ke pasar raya/outlet pasaran di bawah seliaan agensi.

2. Agensi mengaturkan pasaran

Agensi akan mengaturkan pasaran kepada peserta melalui penganjuran program jualan secara berkala di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti seperti program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL).

3. Agensi selaku fasilitator

Peserta boleh mendapatkan khidmat agensi selaku fasilitator dalam rundingan bersama pihak pemasar/pembeli swasta seperti pasar raya dan industri hotel, restoran dan ketering.

Agensi juga boleh membantu memadankan peserta program dengan usahawan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) dan usahawan outlet-outlet jualan di bawah seliaan agensi seperti Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, MyFarm Outlet dan lain-lain.

4. Pusat Pengumpulan Ladang (PPL)

Kerajaan turut menyediakan bantuan fasiliti PPL yang berbentuk khemah mudah alih/separa kekal serta peralatan pemasaran kepada peserta.

Dengan fasiliti yang disediakan ini, usahawan pemasar di PPL memainkan peranan penting dalam membantu petani setempat untuk memasarkan produk.

Banyak PPL yang telah berkembang maju menjadi pusat jualan terus kepada masyarakat setempat dan juga pembeli industri.

Malah terdapat PPL yang menjadi hab pengumpulan hasil sayur-sayuran dan ulam-ulaman untuk dieksport ke Singapura.

Salah sebuah PPL yang dibangunkan sebagai pusat pengumpulan hasil pengeluaran peserta.