Matrade beri amaran sindiket penipuan menyamar sebagai kakitangannya

Iklan
Matrade memberi amaran kepada orang ramai berhubung kegiatan penipuan oleh individu yang menyamar sebagai kakitangannya.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memberi amaran kepada komuniti perniagaan dan orang ramai berhubung kegiatan penipuan oleh individu yang menyamar sebagai kakitangannya menerusi e-mel dan WhatsApp.

Menurutnya, pihak tidak bertanggungjawab itu menyasarkan vendor dengan berselindung di sebalik alasan mendapatkan perkhidmatan segera bagi delegasi perdagangan ke luar negara, perkhidmatan penterjemahan di reruai pameran antarabangsa serta penganjuran acara rekreasi korporat.

Iklan
Iklan

Jelasnya, bagi meyakinkan mangsa, sindiket meminta syarikat menyerahkan dokumen termasuk sebut harga, profil syarikat, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan penyata akaun bank syarikat serta sijil pendaftaran Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

Maklumat syarikat ini kemudiannya disalahgunakan untuk menjana Surat Niat, Surat Setuju Terima (LOA), dan Pesanan Kerajaan palsu kononnya perolehan tersebut telah diluluskan secara rasmi oleh pihak Matrade.

Iklan

"Matrade turut menerima laporan bahawa terdapat syarikat yang telah terpedaya sehingga mengalami kerugian kewangan akibat membuat bayaran pendahuluan kepada akaun pihak ketiga atau pembekal sampingan," jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam taktik ini, agensi itu memberitahu, sindiket mengarahkan mangsa membayar pembekal sampingan kononnya bagi perolehan cenderahati atau kelengkapan khas projek sebelum bayaran penuh kerajaan disalurkan, walhal akaun tersebut dikawal sepenuhnya oleh sindiket penipuan.

Iklan

Matrade tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mencemar integriti agensi serta menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan.

Laporan polis rasmi telah dibuat untuk tindakan jenayah komersial selain aduan rasmi kepada pihak CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan dan menyekat jejak digital dalang di sebalik sindiket ini.

Bagi melindungi syarikat, jika terdapat syarikat menerima sebarang komunikasi mencurigakan berkaitan perolehan Matrade, mereka digesa tidak membuat sebarang urus niaga atau penyerahan dokumen.

Matrade menegaskan semua urusan rasmi pegawai Matrade hanya menggunakan alamat emel berdomain rasmi @matrade.gov.my.

Matrade tidak menggunakan domain emel percuma (seperti Gmail, Yahoo, Hotmail) mahupun akaun WhatsApp peribadi untuk urusan perolehan.

Selaras dengan Tatacara Pengurusan Perolehan di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, semua urusan perolehan Matrade dilaksanakan secara telus melalui proses Perolehan atau portal rasmi agensi, bukan melalui komunikasi tidak rasmi.

"Jangan sesekali menyerahkan maklumat perbankan, dokumen MOF atau salinan penyata kewangan syarikat kepada individu yang tidak dapat disahkan identitinya," jelasnya.

Matrade menggesa syarikat perniagaan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan serta-merta bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat aliran urus niaga keluar dari sistem perbankan.

Mereka turut dinasihatkan membuat laporan polis di balai polis berdekatan dengan segera bersama bukti urus niaga, salinan dokumen palsu dan tangkap layar skrin perbualan bagi tindakan siasatan jenayah komersial.

Pihak Matrade memandang serius terhadap sebarang bentuk penipuan yang melibatkan nama agensi dan akan mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi kepentingan para pengeksport dan orang awam.

Hubungi Matrade dengan segera melalui talian rasmi +603-62077077 atau emel ke info@matrade.gov.my untuk pengesahan lanjut. - Bernama