Integriti halal Malaysia jangan dicabar - MIICCI

Iklan
Ayam diproses menggunakan kaedah water bath stunning yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih. Foto Sinar Harian/ROSLI TALI. Gambar kecil: Muhamad Amin Fahmi

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit dalam kegiatan penyembelihan ayam menggunakan kaedah renjatan elektrik sehingga menyebabkan haiwan itu mati sebelum disembelih.

Presidennya, Muhamad Amin Fahmi berkata, MIICCI memandang serius laporan mengenai kegiatan sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong, Selangor yang dipercayai menggunakan kaedah renjatan elektrik sehingga menyebabkan ayam mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lebih membimbangkan, ayam yang diproses di premis berkenaan dipercayai telah diedarkan ke beberapa kawasan di Lembah Klang, termasuk Puchong, Damansara, Cheras, Bangi, Putrajaya dan Cyberjaya.

 

Iklan

 

Menurutnya, pengedaran itu dipercayai melibatkan rangkaian restoran, pasar raya serta kedai runcit.

Iklan

"Laporan mengenai kapasiti pemprosesan premis berkenaan yang mencecah lebih 40,000 ekor ayam sehari, sekiranya disahkan, menunjukkan besarnya potensi kesan isu itu terhadap pengguna dan industri makanan negara," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata, status halal sesuatu produk bukan sekadar terletak pada bahan mentah atau label pada pembungkusan, sebaliknya merangkumi keseluruhan proses bermula daripada sumber ternakan, pengendalian, penyembelihan, pemprosesan, penyimpanan sehinggalah pengedaran kepada pengguna.

Menurutnya, kaedah stunning menggunakan elektrik tidak semestinya menjadikan ayam tidak halal sekiranya dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan dan haiwan masih hidup ketika penyembelihan dilakukan.

"Namun, sekiranya ayam telah mati akibat renjatan elektrik sebelum disembelih, perkara ini menimbulkan persoalan serius terhadap pematuhan hukum syarak dan integriti pensijilan halal," katanya.

Sehubungan itu, MIICCI berpandangan bahawa sekiranya siasatan mengesahkan berlaku pelanggaran serius terhadap hukum syarak, peraturan penyembelihan dan undang-undang berkaitan, pihak bertanggungjawab mesti dikenakan hukuman tegas.

"Antara tindakan yang dicadangkan termasuk penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, penjara serta senarai hitam terhadap pengusaha, pemilik dan pengurusan premis penyembelihan.

"MIICCI turut berpandangan kesalahan serius yang melibatkan integriti halal dan hak pengguna tidak boleh diselesaikan hanya melalui pembayaran kompaun atau amaran pentadbiran," katanya.

Sebaliknya, pihak pendakwaan perlu meneliti semua peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Akta Makanan 1983, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, tertakluk kepada elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.

Menurut Muhamad Amin, tanggungjawab juga tidak boleh diletakkan semata-mata kepada pekerja yang mengendalikan mesin atau menjalankan penyembelihan.

"Pengurusan tertinggi syarikat turut perlu dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat bukti penglibatan atau kecuaian yang memenuhi elemen kesalahan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, MIICCI menggesa kerajaan memperkukuh sistem pemantauan, audit dan kebolehkesanan halal bagi menilai semula keberkesanan pemantauan industri penyembelihan ayam negara.

Menurutnya, kerajaan perlu mengenal pasti keseluruhan rantaian bekalan ayam bermula daripada ladang, pusat penyembelihan, pengedar, pemborong sehinggalah premis jualan.

"Semua pusat penyembelihan ayam, khususnya yang membekalkan produk dalam jumlah besar, juga perlu menjalani audit pematuhan halal dan pemeriksaan teknikal terhadap mesin serta sistem penyembelihan.

"Pemeriksaan berkenaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada jadual berkala, sebaliknya perlu turut melibatkan pemeriksaan mengejut," katanya.

MIICCI turut mencadangkan lima langkah bagi memperkukuh sistem pemantauan industri berkenaan.

"Antaranya mewujudkan sistem pengesanan digital bagi membolehkan sumber ayam dan lokasi pemprosesannya dikenal pasti.

"Selain itu, setiap pusat penyembelihan perlu mempunyai rekod operasi, penyelia halal dan penyembelih bertauliah yang boleh disahkan," katanya.

MIICCI juga mencadangkan sistem pemantauan berterusan terhadap parameter mesin stunning, termasuk voltan, arus dan tempoh pendedahan.

"Kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama Islam negeri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan turut perlu diperkukuh.

"Pada masa sama, tindakan susulan terhadap setiap teguran dan ketidakpatuhan perlu dilaksanakan sehingga selesai, bukan sekadar mengeluarkan amaran," katanya.

Mengulas tanggungjawab pengguna, MIICCI menyarankan masyarakat membeli ayam daripada premis dan pembekal yang mempunyai pensijilan halal sah serta boleh disahkan.

"Pengguna juga disaran menyemak status pensijilan halal melalui saluran rasmi Jakim atau pihak berkuasa agama negeri, selain bertanya kepada pengusaha restoran dan peniaga mengenai sumber bekalan ayam sekiranya terdapat keraguan.

"Mereka turut disaran menyimpan resit pembelian dan maklumat produk sekiranya perlu membuat aduan atau membantu siasatan serta melaporkan sebarang aktiviti penyembelihan atau penjualan mencurigakan kepada pihak berkuasa," tambahnya.

Bagaimanapun, MIICCI mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat tuduhan terhadap peniaga dan premis tertentu tanpa bukti.

Pengguna yang pernah membeli atau memakan ayam berkenaan tanpa mengetahui keadaan sebenar juga tidak seharusnya dipersalahkan kerana tanggungjawab utama memastikan pematuhan terletak pada pihak yang mengendalikan, memproses dan memasarkan produk terbabit.

Dalam perkembangan sama, MIICCI menegaskan bahawa integriti dan reputasi industri halal Malaysia perlu dipertahankan memandangkan keyakinan terhadap sistem pensijilan halal negara merupakan aset ekonomi dan strategik yang amat bernilai.

Menurutnya, insiden sedemikian, jika tidak ditangani secara telus dan berkesan, berpotensi menjejaskan keyakinan pengguna domestik serta imej industri halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

MIICCI berpandangan pematuhan halal bukan sekadar tanggungjawab pengusaha Muslim atau badan pensijilan, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh ekosistem industri makanan.

"Halal bukan sekadar logo. Halal adalah amanah, integriti dan tanggungjawab kepada pengguna.

"Jangan sesekali dicabar integriti Halal Malaysia. Keyakinan pengguna mesti dipelihara dan integriti industri halal negara mesti dipertahankan," katanya.