PKPD Taman Murni: Lapan keluarga 'menghilang' dijejaki polis

Iklan
Gambar hiasan

SEPANG - Polis sedang menjejaki lapan lagi keluarga di Taman Murni di sini yang didapati 'menghilang' sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan berkuat kuasa pada 30 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, terdapat 465 buah rumah di Taman Murni yang didiami 1,588 orang dan daripada jumlah itu, 69 buah rumah tidak berpenghuni manakala lapan buah rumah berpenghuni namun didapati masih tiada orang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebuah keluarga seramai empat orang telah pulang ke kediaman mereka secara sukarela pada Khamis untuk menjalani saringan dan juga menerima suntikan vaksin.

"Sesetengah penduduk ‘menghilangkan’ diri sebelum PKPD kerana tidak mahu pergerakan disekat. Namun ada kelebihan (PKPD) kepada penduduk kerana saringan dijalankan, vaksin diberikan dan bekalan makanan disalurkan," katanya kepada media selepas melaksanakan Ops Patuh di kawasan perindustrian di sini pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak lapan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di kawasan Sepang dengan empat daripadanya bersempadan Negeri Sembilan.

Kemungkinan SJR akan diubah ke laluan masuk ke lebuh raya bagi pemeriksaan menyeluruh susulan pelaksanaan PKPD di hampir kesemua mukim di Selangor bermula tengah malam ini.

Iklan

Mengenai Ops Patuh, Wan Kamarul berkata, sebanyak 45 buah kilang di kawasan Putra Perdana, Dengkil, Sungai Pelek dan Bandar Baru Salak Tinggi akan diperiksa. - Bernama