Liga Premier tanpa awang import

Iklan
Prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tempatan. - Foto FB FAM, gambar kecil: Khalid Ali

LEGENDA bola sepak kebangsaan, Khalid Ali mencadangkan saingan Liga Premier hanya dikhususnya kepada pemain tempatan bagi mempertingkatkan kembali kualiti skuad Harimau Malaya.

Khalid berkata, ramai pemain tempatan yang kurang mendapat minit beraksi dengan pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super selepas beberapa posisi utama diisi awang import.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif terutama dalam melahirkan bakat tempatan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

"Semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super mahukan kejayaan dengan segera. Disebabkan itu, mereka ambil pemain import di semua posisi, baik pertahanan, tengah mahupun penyerang kerana mereka kejar kejuaraan.

Iklan

"Dalam keadaan ini, mungkin FAM boleh mengambil tanggunjawab dengan menjadikan Liga Premier lebih lokal. Daripada situ, kita dapat memberikan peluang kepada semua pemain tempatan untuk bermain dan mendapat minit secukupnya.

"Dengan cara itu, pemain tempatan yang kurang dapat tempat dalam Liga Super boleh perbaiki permainan mereka. Mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun, mereka akan dapat cabar pemain import dalam Liga Super.

Iklan

"Situasi itu sekali gus membolehkan kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menyediakan pemain yang lebih berkualiti untuk beraksi dengan skuad kebangsaan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, Sukan Sinar melaporkan luahan hati bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang mengakui risau dengan nasib penyerang tempatan yang kurang diberikan peluang beraksi dalam Liga Super.

Menurut Safee, situasi tersebut bakal mengundang masalah dalam usaha menyediakan penyerang yang berkualti untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Untuk rekod, pasukan yang beraksi dalam Liga Super dibenarkan membawa masuk lima pemain import manakala empat pemain import bagi pasukan Liga Premier.

Mengulas lanjut, Khalid turut memberikan cadangan penyertaan dalam saingan Liga Premier lebih 'terbuka' dengan melibatkan pasukan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, TNB dan Maybank.

"Kesemua pasukan ini ada peruntukan dalam sukan tetapi mungkin mereka tidak tahu macam mana untuk membelanjakan ke arah sukan bola sepak. Jadi, penglibatan mereka sudah tentu sangat baik untuk sukan bola sepak di negara ini.

"Dalam dua atau tiga tahun, kita akan nampak kesan positif daripada tindakan tersebut dengan ramai bakat yang boleh diketengahkan untuk beraksi dalam Liga Super dan pasukan kebangsaan.

"Namun, jika tiada tindakan pantas, saya percaya kita akan terus ketandusan bakat pemain tempatan untuk beraksi di pentas antarabangsa dan perlu terus mengharapkan kepada pemain naturalisasi," ujarnya.