Darurat permudah proses pentadbiran, birokrasi kerajaan

Iklan
Afif Bahardin

SHAH ALAM - Pelaksanaan Ordinan Darurat pada awal 2021 telah memudahkan proses birokrasi dan pentadbiran kerajaan untuk melaksanakan pelan tindakan mengatasi pandemik Covid-19.

Timbalan Pengerusi Dua Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, urusan kerajaan menjadi mudah untuk membuat keputusan dengan baik tanpa perlu melalui pelbagai prosedur dalam membuat ordinan.

Iklan
Iklan

"Untuk nyatakan bahawa darurat tiada kesan, saya tidak setuju. Saya berani menyatakan bahawa kalau kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, tidak mustahil mereka akan memanggil darurat untuk berhadapan dengan situasi Covid-19 ini.

"Darurat secara jelasnya termaktub dalam perlembagaan dan ruang yang diberikan apabila kita berhadapan dengan ancaman keselamatan maka darurat boleh dipanggil. Darurat ini membolehkan pelan tindakan ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-268 yang bertajuk 'UMNO dan PN Selepas 14 Hari: Apa Pula Selepas Ini' yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dan Penganalisis Politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Iklan

Mengulas lanjut, katanya, melalui darurat, kerajaan boleh melakukan pelbagai perkara demi mengimbangi keselamatan nyawa dan kelangsungan hidup.

"Dalam keadaan ini, sumber-sumber manusia seperti doktor dan jururawat boleh digunakan. Kelengkapan di hospital swasta juga boleh digunakan kerana kita tidak perlu ikut undang-undang birokrasi.

"Ini satu perkara yang saya rasa mungkin kita tidak nampak. Bahkan semua ordinan yang kita nampak dalam tempoh darurat ini telah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Bayangkan banyak ordinan yang kita nak buat, perlu melalui setiap tempoh bacaan dalam Parlimen. Adakah ini satu perkara praktikal semasa kita dalam krisis. Sebab itu kita perlukan ruang untuk buat keputusan dengan cepat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, gesaan untuk membuka Parlimen perlu diperhalusi dengan lebih baik agar tidak melanggar sebarang arahan yang ditetapkan.

"Lebih kurang 1,600 orang yang berada di Parlimen termasuk pegawai dan sebagainya. Itu dalam keadaan Parlimen dilaksanakan tahun lepas. Ini perlu diperhalusi dan perlukan pandangan. Jangan ada langgar peraturan,” katanya.