Jangan ada agenda tersendiri desak Parlimen buka: Hishammuddin

Iklan
Hishammuddin

SHAH ALAM - Desakan supaya Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi dan dijadikan alat pemuas nafsu politik oleh sesetengah individu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ahli Parlimen yang mendesak itu mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan yang disambung semula dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam pengurusan Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, agenda negara dan rakyat jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua.

"Satu-satunya harapan rakyat Malaysia ketika ini ialah jalan keluar daripada krisis ini dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai ahli Parlimen. Rakyat mahu jumlah kes diturunkan, nyawa diselamatkan dan ekonomi dipulihkan.

Iklan

"Selain itu, situasi yang sedang dihadapi sekarang sangat luar biasa. Kita berdepan gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak. Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Di kala perdana menteri dan menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik, kita semua perlu menyokong, bukannya skeptikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, pelan tersebut hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik.

Katanya, jika semua parti memberi fokus terhadap tanggungjawab dan berkongsi tekad yang sama, harapan semua pihak untuk bebas daripada pandemik itu akan berjaya.

"Parlimen penting sebagai ruang semak dan imbang kepada kerajaan. Prosiding Parlimen juga mustahak untuk kerajaan berkomunikasi dan membahaskan polisi serta mencapai persefahaman.

"Saya percaya, dalam mempertimbangkan pandangan saya ini, wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan. Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula.

"Kestabilan ini juga mungkin memberikan hak kepada ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan. Tetapi paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas,” katanya.

Menurut Hishammuddin, negara perlu mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan tidak tertakluk dengan amalan politik tanpa batas.

Kata beliau, ini adalah masa terbaik untuk ahli politik daripada kedua-dua belah pihak membuktikan yang mereka boleh berperanan dengan lebih baik dan menunjukkan kepada rakyat untuk berkhidmat.

"Jadi dalam kita sedang mempertimbangkan untuk membuka semula Parlimen, kita mesti bersedia. Ia tidak semudah membuka dewan dan duduk. Memandangkan kita sedang meneliti kemungkinan sesi hibrid, kerajaan perlu diberi ruang untuk membuat pertimbangan serta merancang kaedah dan proses demi memastikan setiap prosiding berjalan lancar.

"Sekiranya niat pembangkang hanya ingin menggunakan Parlimen bagi mendapatkan kuasa dan bukan memanfaatkan fungsinya sebagai wacana yang membina bagi pelbagai pihak, ia akan membawa masalah. Saya tidak nafikan pembangkang berhak mengkritik, tetapi kecelaruan politik tidak akan diterima oleh rakyat terutama di saat-saat sukar ini,” katanya.