Program empowerNCER bantu 1,200 pelajar B40

Iklan
Nurasyikin berkongsi kegembiraan bersama ibunya setelah berjaya memperoleh 8A dalam SPM 2020.

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program empowerNCER Akademik yang merupakan satu program pembangunan insan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah membantu pelajar luar bandar mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Azizul Halim Yahya berkata, UiTM komited dalam membantu golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Program empowerNCER banyak memberikan manfaat kepada golongan B40 terutamanya dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Saya bersyukur kerana segala usaha bersepadu di antara Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), UiTM dan sekolah-sekolah terlibat telah membuahkan hasil.

Iklan

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) banyak memberikan sokongan dalam merealisasikan kejayaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pelajar-pelajar yang mengikuti program itu terdiri daripada pelajar sekolah luar bandar dan juga mereka yang berada dalam golongan B40 dari kawasan terpilih negeri Kedah dan Perlis.

Iklan

"UiTM telah diberi tanggungjawab merangka dan merancang method pembelajaran tambahan bagi persediaan menghadapi peperiksaan SPM yang telah memberikan manfaat kepada seramai 1,200 pelajar bagi tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar Utara, Perlis yang mengikuti Program empowerNCER Akademik, Cheang Wen Jing berjaya memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020.

"Saya bersyukur kerana telah terpilih menyertai Program empowerNCER Akademik kerana ia telah banyak membantu dari segi persediaan menghadapi peperiksaan lepas terutamanya ketika sekolah ditutup akibat Covid-19.

"Buku-buku latihan yang dibekalkan oleh UiTM sangat membantu kerana ayah tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli buku, malah pendapatan ayah sebagai tukang kayu turut terjejas kerana pandemik ini,” katanya.

Wen Jing memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM 2020.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh Dalam, Pendang, Kedah, Aina Afifi Mohamad Zamri yang turut mengikuti program ini telah mendapat keputusan 8A di dalam SPM baru-baru ini.

"Program ini banyak membantu menguraikan permasalahan pembelajaran melalui modul yang diberikan selaras dengan keperluan pelajar lemah untuk kembali berjuang dalam peperiksaan umum yang dihadapi.

"Program empowerNCER Akademik telah membuka peluang kepada saya menuntut ilmu dalam kepelbagaian sumber selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika musim pandemik Covid-19,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang peguam.

Aina Afifi mencatatkan keputusan 8A dalam peperiksaan SPM 2020.

Peserta lain yang turut mengikuti Program empowerNCER 2020, Nurasyikin Maliki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Baling, Kedah juga telah memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan SPM.

"Saya bersyukur menjadi sebahagian daripada program ini, terima kasih kepada pihak NCER dan UiTM kerana membekalkan modul-modul yang sangat berguna untuk saya mengulangkaji pelajaran.

"Guru juga memainkan peranan kerana sentiasa bersedia memberi bimbingan apabila diperlukan pada bila-bila masa. Dedikasi para guru ini menjadi dorongan kepada para pelajar memberi tumpuan kepada pelajaran untuk menggapai cita-cita ke menara gading,” katanya.