KOTA BHARU - Tiga kali terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan teknologi maklumat (IT) peringkat antarabangsa, pelajar orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh di sini sekali lagi bakal membawa nama negara ke Vietnam bulan depan.
Muhammad Syakir Zailani, 16, akan menyertai 'Global IT Challenge for Youth with Disabilities' pada 19 hingga 22 Oktober ini.
Pengerusi Majlis Bertindak Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Kelantan (MBPK), Husin Deraman berkata, pihaknya akan membantu persiapan Muhammad Syakir bagi memastikan kelancaran pelajar berkenaan bertanding di Vietnam.
Menurutnya, bantuan termasuk menyediakan kelengkapan pakaian sukan, kasut, beg serta keperluan lain yang bersesuaian dengan penyertaannya dalam pertandingan berkenaan melalui tajaan dari kelab bola sepak, Kelantan Rovers FC.
“Selain itu, kami juga sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menaja perjalanan Muhammad Syakir termasuk tiket penerbangan antarabangsa ke Vietnam.
“Pihak kami akan uruskan perkara berkenaan supaya persiapannya untuk menyertai pertandingan itu dapat berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Kelantan, Intan ‘Izzati Md Hashim dan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Aiman Yusri Mohd Yusof.
Husin berkata, MTRK turut menaja tiket penerbangan domestik pergi dan balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur bagi Muhammad Syakir.
Keraian dan sokongan moral kepada pelajar itu turut akan diadakan menerusi satu majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Hotel Ibis Styles di sini pada 15 Oktober ini.
Muhammad Syakir yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Ketereh selama empat tahun kini ditempatkan dalam kelas arus perdana bagi membolehkannya meneruskan pengajian akademik dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam pertandingan berkenaan, peserta akan diuji dalam pelbagai kemahiran IT termasuk penyediaan kandungan digital, penggunaan aplikasi, penyuntingan, penghasilan poster dan video pendek serta kemahiran menggunakan Microsoft Excel dan PowerPoint.
Penyertaan secara berkumpulan turut membabitkan tugasan berkaitan robotik dan inovasi Internet of Things (IoT) manakala kecerdasan buatan (AI) turut digunakan dalam beberapa bidang berkaitan teknologi maklumat.
Muhammad Syakir adalah anak kepada pasangan suami isteri, Habsah Ismail yang tidak bekerja dan Zailani Zakaria pula merupakan buruh kasar.
Muhammad Syakir berjaya membawa pulang dua emas pada pertandingan sama di Abu Dhabi pada 2023 dan Seoul, Korea pada 2024.
Untuk penyertaan tahun ini, beliau merupakan satu-satunya wakil dari Kelantan dan dijadualkan menjalani latihan bersama pasukan negara di Putrajaya sebelum berlepas ke Vietnam.
Pertandingan Global IT Challenge for Youth with Disabilities tahun ini dijadualkan menghimpunkan peserta dari 16 negara dengan Malaysia membariskan lapan peserta bersama empat pengiring.
Mengulas lanjut Husin berkata, terkini, penubuhan MBPK itu akan memberi tumpuan kepada usaha membantu murid berkeperluan khas yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Sokongan terhadap Muhammad Syakir ini diharap dapat membuka ruang lebih luas kepada murid OKU lain di Kelantan yang berkeupayaan dan berbakat untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.