14 lelaki berkumpul, uji bunyi bising ekzos motosikal terima padah

Iklan
14 lelaki yang ditahan diarah menolak motosikal masing-masing ke IPD Kemaman sejauh 5KM. Foto ihsan: Polis Kemaman

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Tindakan degil 14 lelaki tidak menghiraukan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' dengan berkumpul sambil menguji bunyi ekzos motosikal masing-masing mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada Rabu.

Selain ditahan, semua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun itu juga terpaksa menolak motosikal mereka sejauh lima kilometer (km) dari Kampung Mak Chili ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Chukai, di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, 14 lelaki berkenaan diminta menolak motosikal masing-masing sebagai pengajaran kerana berkumpul sambil memulas minyak motosikal untuk menunjukkan kehebatan bunyi ekzos motosikal masing-masing walaupun dalam tempoh PKP.

Menurutnya, mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kemaman di Jalan Ibok dan Paman dalam tempoh tiga jam bermula jam 4 petang.

Iklan

"Sebelum itu, kita ada terima laporan mengatakan terdapat remaja suka berkumpul sambil memulas minyak motosikal hingga menganggu ketenteraman orang awam. Jadi kita pergi dan memang benar ada aktiviti itu di sana.

"Menyedari kehadiran polis, semua lelaki yang sedang berkumpul cuba melarikan diri ke dalam semak dan kebun berhampiran dengan meninggalkan motosikal masing-masing namun berjaya ditahan,” katanya pada Khamis.

Iklan
14 motosikal yang disita dibawa ke IPD Kemaman. Foto ihsan: Polis Kemaman

Hanyan berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 14 motosikal disita kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk bunyi ekzos bising dan pengubahsuaian struktur sebelum pemiliknya diarah menolak motosikal masing-masing ke IPD Kemaman.

Katanya, dalam operasi sama polis turut memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 52 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan tidak mempunyai insurans.

"Kita harap ibu bapa dapat memantau pergerakan anak-anak supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak sihat, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP yang mana semua orang patut duduk di rumah jika tidak ada urusan penting.

"Polis akan sentiasa melakukan operasi bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.