Landaikan kes tidak mencukupi, vaksin perlu segera

Iklan
Dr Sazaly Abu Bakar

SHAH ALAM - Pemberian vaksin perlu disegerakan dalam usaha melandaikan lekuk kes harian Covid-19 selain mengelakkan peningkatan kematian.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar tidak bersetuju jika usaha hanya untuk melandaikan kes kerana peningkatan akan terus berlaku.

Iklan
Iklan

"Melandaikan sahaja tidak memadai. Kita kena bawa ke tahap yang mana seperti dahulu iaitu dua angka atau sifar. Kalau kita landaikan kes daripada 3,000 kepada 2,000, kemudian akan meningkat semula kepada 3,000 dalam masa terdekat.

"Jika kita tidak mampu untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh, fikir cara lain yang lebih sesuai ke arah itu,” katanya semasa menjadi panelis dalam program Wacana Sinar edisi ke-260 yang bertajuk Covid-19: Malaysia di Ambang Kritikal yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Profesor Ekonomi, Polisi kesihatan, Universiti Kuwait, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid dan Pengarah Perubatan, Universiti MAHSA, Profesor Dr Mustafa Ali Mohd manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Datuk Suhaili Abdul Rahman

Katanya, jika pencegahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum ini gagal dan masih digunapakai, ia bermaksud taktik tersebut tidak membawakan hasil yang terbaik.

Iklan

Dr Sazaly berpendapat PKP secara penuh perlu apabila proses pemberian vaksin tidak dapat disegerakan.

"Kita sepatutnya melaksanakan PKP secara penuh. Oleh kerana kita tidak mampu, jadi terpaksa berdepan dengan peningkatan kes," katanya.

Sementara itu, menurut Suhaili, rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, kadar pematuhan rakyat terhadap SOP rendah menyebabkan kes meningkat terutama selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kerajaan melakukan yang terbaik. Rakyat perlu patuh SOP. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah mengingatkan peningkatan kes akan berlaku selepas Aidilfitri dan ini betul-betul berlaku.

"Apapun pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan, jika kita tidak patuhi SOP, kes sukar dibendung,” ujarnya.