Kawasan sempadan Perak-Thailand dibangunkan

Iklan
KAR HING
IPOH - Kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk membangunkan kawasan Dun Pengkalan Hulu yang menjadi pintu sempadan Perak dan Thailand.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, langkah itu dianggap peluang keemasan dalam usaha meningkatkan kemasukan pelancong asing ke negeri ini berikutan kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Betong yang dijangka siap, tahun depan.

"Pengkalan Hulu adalah tempat paling strategik memandangkan kedudukannya tidak jauh dari Betong.

"Saya sangat bersetuju perlunya ada satu suasana lebih mesra dan teratur di situ sebagai pintu gerbang utama kemasukan pelancong," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu), hari ini.

Aznel dalam soalan tambahannya memaklumkan, pembangunan bandar sempadan di Dun itu perlu dirancang secara sistematik untuk dijadikan laluan utama atau destinasi pelancongan berikutan keadaan sekarang termasuk gerai-gerai adalah tidak teratur.

Kar Hing berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan kerja dalam masa terdekat ini bagi membolehkan perancangan awal dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan negeri menjangkakan peningkatan kehadiran pelancong domestik sebanyak 6 peratus, tahun ini berbanding 7.6 juta pelancong yang direkodkan tahun lalu.

"Perak masih mengungguli tangga kedua jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi selama tiga tahun sejak 2015," katanya.