Perak Pawsitive capai 2,289 pemandulan anjing, kucing

Iklan
Sandrea (lapan dari kiri) ketika hadir merasmikan program Perak Pawsitive@Tanjung Malim di Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim pada Sabtu.

TANJUNG MALIM - Sebanyak 2,289 anjing dan kucing telah dimandulkan di bawah program Perak Pawsitive sejak digerakkan pada 2024 lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, angka itu mencerminkan perkembangan positif usaha menangani isu haiwan terbiar di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, kerajaan negeri menetapkan sasaran memandulkan 1,000 ekor haiwan melibatkan anjing dan kucing.

"Setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 981 ekor telah berjaya dimandulkan, terdiri daripada 391 kucing dan 590 anjing.

Iklan

"Selain itu, sebanyak 1,298 lesen anjing turut dikeluarkan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya ketika berucap merasmikan program Perak Pawsitive@Tanjung Malim di Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr Shazree Idzham Wahab Abdul Rahman; wakil Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim dan Kampar, Dr Nurul Ashikin Sapian serta Pengerusi Persatuan Pencinta Haiwan Daerah Kinta, Chong Choon Kit.

Iklan

Sandrea menjelaskan, inisiatif berkenaan bukan sekadar program pemandulan bersubsidi, sebaliknya merangkumi pelbagai pendekatan termasuk pelesenan, pendidikan masyarakat serta kerjasama dengan PBT, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Katanya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi mengawal pembiakan tidak terkawal selain mengurangkan jumlah haiwan terbiar dalam jangka panjang.

"Usaha ini memerlukan komitmen berterusan kerana ia tidak dapat diselesaikan melalui satu atau dua program sahaja.

"Namun jika dilaksanakan secara konsisten, ia mampu mengurangkan aduan, tekanan kepada PBT serta membina budaya pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta termasuk pemaju hartanah bagi menangani isu haiwan terbiar lebih awal di kawasan pembangunan.

"Sekiranya terdapat anjing di tapak projek, ia perlu dikenal pasti, dimandulkan dan diuruskan secara bertanggungjawab sebelum kawasan itu diserahkan kepada penduduk.

"Kita bukan sekadar membina bangunan, tetapi turut membina komuniti yang selesa, selamat dan bersih untuk didiami,” katanya.