Sedia atasi kelemahan bantuan banjir

Iklan
Reizal Arif
KUANTAN - Markas 4 Briged (Mekanize) mengenal pasti kelemahan dan kekurangan untuk diberi penambahbaikan pada misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir kali ini.

Panglimanya, Brigediar Jeneral Reizal Arif Ismail berkata, sebarang kelemahan pada misi bantuan sebelum ini akan di atasi agar bantuan yang diberikan kali ini lebih berkesan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti kelemahan itu untuk di atasi.

"Markas 4 Briged (Mekanize) kini sudah bersiap sedia untuk mengatur gerak aset dan keanggotaan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

"Kita telah mengkoordinasikan segala bantuan dan usaha di peringkat negeri bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Pahang dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) negeri selaku agensi pelaksana yang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara penutup Panther Trail sempena Eksesais Joint Adventure Trainning Siri 13/2018 di Teluk Chempedak di sini, hari ini.

Riezal Arif berkata, pihaknya diberi tanggungjawab oleh pasukan tentera darat untuk bantuan di peringkat negeri Pahang dan sebahagian kawasan di Terengganu sekiranya banjir berlaku.

"Tugas kita membantu pihak berkuasa awam di negeri ini supaya bantuan yang sewajarnya dapat dihulurkan untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

"Kita sudah bersedia dan dalam keadaan bersiapsiaga untuk mengerakkan usaha secara bersepadu di peringkat negeri dan daerah termasuk aspek aset dan keanggotaan,”katanya.

Menurutnya, aspek logistik juga sudah siap sedia termasuk bot dan dapur medan untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir .

"Sekiranya banjir buruk berlaku, kita akan minta bantuan aset tambahan termasuk jambatan mudah alih sekiranya diperlukan,” katanya.