Warga emas buta gigih ternak burung puyuh

Iklan
Walaupun bergelar OKU yang buta kedua-dua belah matanya, tidak menghalang Kow Meng Soon, 60, yang tinggal di Kampung Sri Gading, dekat sini untuk bergelar usahawan dengan menternak puyuh. - Foto Bernama

BATU PAHAT - Tragedi kemalangan jalan raya kira-kira 25 tahun lepas sehingga mengakibatkan kedua-dua belah matanya buta tidak mematahkan semangat seorang warga emas di Kampung Sri Gading di sini untuk bergelar seorang penternak burung puyuh.

Kow Meng Soon, 60, berkata, dia kini menternak 5,000 ekor burung puyuh dan mampu menjual kira-kira 2,000 biji telur haiwan itu setiap hari kepada pemborong.

Iklan
Iklan

Menurut Meng Soon, dia dan isteri, Disianti Lee, 30, perlu menternak burung berkenaan demi mata pencarian kerana ia satu-satunya pekerjaan yang mampu dilakukannya selepas menjadi orang kurang upaya (OKU).

"Sebelum ini, saya bekerja di Singapura dan saya nekad untuk menternak burung puyuh walaupun tidak mempunyai pengalaman. Saya menggunakan wang simpanan hasil pekerjaan sebelum ini sebagai modal... ia lebih baik daripada saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Iklan
Meng Soon kini yang menternak kira-kira 5,000 ekor burung berkenaan dan mampu menjual lebih 2,000 biji telur burung peliharaannya itu setiap hari untuk pasaran setempat. - Foto Bernama

"Saya juga perlu bekerja keras, lebih-lebih lagi memiliki tiga anak berumur antara enam dan 15 tahun yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Bernama pada Sabtu.

Meng Soon mengakui penularan pandemik Covid-19 turut memberi tempias terhadap aktiviti ternakannya dengan kehilangan lebih separuh pendapatan.

Iklan

Katanya, dia pernah kerugian besar apabila tidak dapat menternak burung puyuh hampir 10 bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lepas.

"Ketika itu, saya perlu melupuskan hampir 10,000 ekor burung puyuh selain memberikannya kepada kenalan dan jiran. Kini setelah hampir tiga bulan, saya memulakan kembali ternakan, saya gembira dan bersyukur kerana telur puyuh ini masih mempunyai pasaran walaupun tidak seperti sebelum PKP,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sri Gading, Sharuddin Abu Bakar berkata, dia berbangga dengan Meng Soon yang tabah dan cekal untuk berjaya walaupun bergelar OKU.

"Meng Soon merupakan satu-satunya OKU yang boleh dianggap berjaya di kampung ini dan usahanya ini diharap dapat dijadikan teladan oleh para penduduk kampung,” katanya. - Bernama