Manjoi dilanda banjir, dua bayi antara diselamatkan

Iklan
Dua bayi perempuan antara 28 mangsa yang diselamatkan anggota bomba selepas beberapa rumah di kawasan Manjoi dilanda banjir kilat pada Jumaat. Foto JBPM Perak

IPOH - Dua bayi perempuan antara 28 mangsa yang diselamatkan anggota bomba selepas beberapa rumah di kawasan Manjoi di sini dilanda banjir kilat pada Jumaat.

Ketika kejadian, kesemua mangsa termasuk sembilan kanak-kanak dan dua warga emas terperangkap di kediaman masing-masing yang dinaiki air mencecah lebih 1 meter.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.34 petang membabitkan kawasan di Jalan Menteri dan Jalan Tali Api, Kampung Manjoi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh tiba di lokasi mendapati, beberapa rumah sudah ditenggelami air.

Iklan

"Operasi menyelamat dijalankan melalui Jalan Tali Api dengan paras air dianggarkan setengah meter, manakala laluan Jalan Menteri mencatatkan paras air kira-kira 1.3 meter.

"Keseluruhan 28 mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan tinggi," katanya dalam kenyataan di sini.

Iklan

Beberapa rumah di kawasan Manjoi dilanda banjir kilat pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Masjid Ghufran, Kampung Manjoi untuk menerima bantuan sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, paras air mula surut ketika pemantauan dijalankan dan operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 6.15 petang.

"Operasi melibatkan 12 anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 7.50 malam," katanya.