Henti niaga 15 minit diperluas ke pasar malam

Iklan
MOHD NURKHUZAINI
KAMPUNG RAJA - Kerajaan negeri merancang kempen supaya urus niaga dihentikan selama 15 minit pada waktu Maghrib akan diperluaskan di pasar malam seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahma berkata, kerajaan negeri mempunyai rancangan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun kempen di pasar malam hanya akan dilakukan selepas kempen di semua medan selera di negeri ini berjaya dilaksana.

"Kempen operasi gerai ditutup selama 15 minit itu kini telah dilaksanakan di Medan Selera Jertih dan akan dikembangkan di daerah lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: Henti berniaga 15 minit ketika Maghrib ]

"Kerajaan akan pastikan prasarana di medan selera setiap daerah lengkap terlebih dahulu seperti kemudahan surau dan tempat mengambil wuduk sebelum ia dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada peniaga atau pelanggan untuk solat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Besut Pest di Dewan Merdeka, Kota Putera Square di sini.

Mohd Nurkhuzaini berkata lagi, setakat ini persatuan penjaja di enam daerah di negeri ini telah meminta kerajaan negeri melaksanakan kempen tersebut di daerah masing-masing biarpun belum mempunyai prasanan yang cukup.

Menurutnya, namun pihaknya akan berusaha untuk memastikan mempunyai kemudahan mencukupi untuk memastikan kempen yang dilaksanakan berkesan.

"Tapi yang mana sudah bersedia dan sudah ada kemudahan sudah boleh melaksanakan kempen ini dan kita jangka sehingga suku pertama tahun depan kempen ini dapat dilaksanaka di medan selera,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu barulah ia akan diusahakan untuk dikembangkan di pasar-pasar malam namun kemudahan asas juga perlu dipastikan lengkap di kawasan tersebut terlebih dahulu.

Menurutnya, kempen ini bertujuan memberi ruang kepada peniaga dan pembeli menunaikan kewajipan solat.

"Kita minta supaya berhenti niaga lima minit sebelum dan 10 minit selepas Maghrib dan usaha ini untuk memastikan amalan ini menjadi budaya selain peniaga memperolehi rezeki yang berkat kerana menjaga solat,” kata beliau.