Kes Sajat: Imigresen kongsi maklumat dengan PDRM

Iklan
Khairul Dzaimee (dua dari kanan) hadir dalam Operasi Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.

PUCHONG - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah berkongsi maklumat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kes ini dalam siasatan pihak berkuasa.

"Maklumat telah kami (Imigresen) kongsikan dengan PDRM.

Iklan

"Jadi saya tidak mahu memberi sebarang ulasan yang mungkin boleh mengganggu siasatan pihak polis atau pun pihak berkuasa yang lain," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu di Bukit Puchong, di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat mungkin ada di luar negara

Iklan

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Muhammad Sajjad berada di luar negara, namun pemantauan sedang dilakukan.

Muhammad Sajjad, 36, mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Dalam entri terbaharunya pula, Muhammad Sajjad menafikan dirinya bersembunyi seperti dilaporkan sebelum ini, malah turut mengesahkan dia masih kekal dengan agama Islam.

Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.